PPBM tak ikhlas sertai MN, sedar bukan parti dominan


PETALING JAYA: Seorang pemimpin Umno mendakwa PPBM tidak ikhlas menyertai Muafakat Nasional (MN) kerana sedar mereka tidak akan menjadi parti dominan dalam pakatan berkenaan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi berkata, jika PPBM ikhlas mahu menyertai MN, sudah tentu parti itu membubarkan Perikatan Nasional (PN) dari awal.

“PPBM berminat lagi ke nak masuk MN? Semua tahu PPBM berusaha memecah belahkan MN. Kalau ikhlas sudah tentu dari awal lagi PN dibubarkan.

“Lagi pun, mana mungkin PPBM mahu sertai MN, kalau PPBM bukan dominan di dalamnya,” kata Puad dalam catatan di Facebook.

Semalam, Ketua Penerangan PPBM, Wan Saiful Wan Jan berkata, parti itu sebelum ini dijemput menyertai MN dan sudah bersetuju dengan pelawaan berkenaan menerusi surat rasmi.

Namun katanya, tiada respons rasmi mengenai status surat berkenaan selepas itu.

“Bukan kita minta masuk, kita dijemput masuk. Bila kita dah balas surat dan nyatakan persetujuan, tidak ada respons rasmi mengenai status selanjutnya.

“Saya sendiri tertanya-tanya apakah status jemputan itu sekarang,” katanya di Facebook.

Puad berkata, perkara yang dibangkitkan itu tidak relevan lagi kerana Umno sudah pun membuat penegasan tidak mahu bekerjasama dengan PPBM dan tidak lagi menyokong PN selepas Parlimen dibubarkan.

“Lebih baik PPBM tanya bila (perintah) darurat mahu ditamatkan dan minta presiden PPBM (Muhyiddin Yassin) jawab bilakah Parlimen akan bersidang.

“Bahkan banyak lagi persoalan lain yang ketua penerangan PPBM kena tanya dan minta presiden sendiri jawab.

“Contohnya apakah hala tuju ekonomi negara? Kenapa dasar pengundi 18 tahun tidak dilaksanakan,” kata Puad. FMT

Wan Saiful minta ‘rakan-rakan Umno’ selesaikan isu Zahid

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker