Seteruk bakar 137 batang rokok

Sebaran :


Kuala Lumpur: Sekeping ubat nyamuk lingkaran mampu melepaskan partikel halus PM2.5 yang bersamaan dengan membakar 75 hingga 137 batang rokok.

Demikian dapatan kajian betapa bahayanya penggunaan ubat nyamuk lingkaran kepada kesihatan.

Bagaimanapun, berdasarkan data hasil kajian terkini penggunaan ubat nyamuk lingkaran, sekitar 7.1 peratus dalam kalangan komuniti bandar Kuala Lumpur dan 10.8 peratus di kawasan pinggir bandar seperti Hulu Langat masih menggunakan ubat nyamuk lingkaran.

Manakala di kawasan pantai timur, ia merekodkan sekitar 17.6 peratus dalam komuniti pinggir bandar dan 23.2 peratus bagi luar bandar yang masih menggunakan bahan ini sebagai kaedah untuk kawalan nyamuk di rumah.

Profesor di Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Juliana Jalaludin antara yang aktif mengkaji kesan penggunaan ubat nyamuk lingkaran dalam kalangan komuniti di Malaysia terutamanya membabitkan kanak-kanak sejak 2001.

“Hasil kajian mendapati penggunaan ubat nyamuk lingkaran selama tiga malam berterusan boleh meningkatkan risiko asma dan kesesakan nafas.

“Manakala kajian dalam komuniti Hulu Langat, Selangor pula mendapati pendedahan selama seminggu meningkatkan risiko kahak kronik serta penggunaan yang berterusan pula boleh menyebabkan kejejasan fungsi paru-paru obstruktif dan restriktif dalam kalangan kanak-kanak berusia 7 hingga 11 tahun.

“Penemuan hasil kajian terkini dalam kalangan komuniti kanak-kanak di pinggir bandar Malaysia pula mendapati ada hubungan yang signifikan antara pendedahan asap ubat nyamuk secara berterusan dengan kerosakan DNA,” katanya.

Timbalan Presiden Pertubuhan Forum Udara Bersih Malaysia (MyCAS) itu berkata, antara pencemar yang boleh dihasilkan daripada proses pembakaran termasuk formaldehid, acrolein, partikel ultra-halus dan polisiklik aromatik hidrokarbon (PAH).

“Kajian juga mengenal pasti sebilangan besar sebatian organik yang mudah meruap dihasilkan, ia termasuk yang bersifat karsinogenik dan disyaki karsinogenik di dalam asap ubat nyamuk lingkaran.

“Penemuan daripada kajian ini menunjukkan bahawa pendedahan kepada asap ubat nyamuk lingkaran yang diuji dapat menimbulkan risiko kesihatan akut dan kronik yang ketara seperti asma, bronkitis dan juga barah dalam jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata, kajian penilaian kadar pelepasan pencemar mendapati kepekatan pencemar kesan daripada pembakaran ubat nyamuk jauh melebihi standard kesihatan atau garis panduan kualiti udara yang ditetapkan.

Ditanya berkaitan ubat nyamuk lingkaran tidak berdaftar yang mudah diperoleh secara dalam talian, Juliana berpandangan, ia jauh lebih bahaya kerana tidak diketahui kandungan bahan yang digunakan.

“Produk ini berada di bawah kawalan Lembaga Racun Makhluk Perosak dan perlu penguatkuasaan serta pemantauan.

“Masyarakat perlu didedahkan dengan maklumat yang jelas dan tepat kesan penggunaan produk yang mengandungi bahan Class 1A Carcinogen ini.

“Ia berpotensi menyebabkan kesan akut dan kronik dalam penggunaan jangka masa panjang khususnya membabitkan kanak-kanak dan individu yang mempunyai tahap imun sistem yang rendah,” katanya.

Justeru, berdasarkan penilaian risiko dan implikasi jangka panjang terhadap kesihatan, beliau melihat amalan penggunaan ubat nyamuk lingkaran ini patut dihentikan.

“Komuniti sewajarnya menukarkannya kepada produk yang lebih mesra alam dan kurang berisiko terhadap kesihatan.

“Paling penting adalah kawalan dengan menguruskan persekitaran rumah dengan baik bagi menghalang tempat pembiakan nyamuk dan semua haiwan perosak,” katanya.


KAMBING turut terkesan dengan penggunaan ubat nyamuk lingkaran.

Binatang ternakan sesak nafas

Kuala Lumpur: Penggunaan ubat nyamuk lingkaran tidak berdaftar turut menyebabkan kambing diternak sesak nafas selepas beberapa ketika ia dinyalakan.

Ia hasil laporan diterima daripada penternak haiwan berkenaan kepada jabatan pertanian sebuah negeri.

Pengarah Bahagian Kawalan Racun Perosak dan Baja Jabatan Pertanian Malaysia Mat Iesak Ngathinee berkata, kemasukan ubat nyamuk tidak berdaftar dari luar berisiko kepada pengguna kerana ia mengandungi bahan yang boleh memberi implikasi buruk kepada kesihatan.

“Penguatkuasa Bahagian Kawalan Racun Perosak dan Baja (BKRPB) memang berjaya melakukan rampasan lingkaran ubat nyamuk hampir setiap tahun. Antara jenama yang paling popular ialah zenden micro-smoke.

“Aduan biasanya diperoleh melalui surat rasmi, e-mel, panggilan telefon dan pelbagai platform lain lagi. Kami dapati, ramai yang masih menggunakan ubat nyamuk tidak berdaftar kerana ia dikatakan berkesan dan harganya murah.

“Maklumat daripada orang awam yang pernah menggunakan ubat nyamuk ini mengatakan, bayi dan kanak-kanak mengalami kesan kesukaran untuk bernafas,” katanya.

Menurut beliau, perkara ini berlaku kerana terdapat kandungan bahan-bahan selain daripada perawis aktif yang tidak dinyatakan.

Bagi lingkaran nyamuk berdaftar, Lembaga Racun Makhluk Perosak (LRMP) akan menyemak semua bahan-bahan yang terdapat dalam lingkaran nyamuk terbabit.

Sesuatu racun perosak terutamanya daripada kumpulan ‘pyrethroid’ yang digunakan dalam lingkaran nyamuk akan menjadi lebih kuat jika dicampur dengan beberapa bahan lain sebagai synergist.

Bahan-bahan itu dikatakan memberi kesan sampingan seperti kesukaran untuk bernafas, gatal-gatal kulit dan mata, serta kesan yang lebih teruk boleh sebabkan barah.


GOLONGAN penoreh getah menganggap ubat nyamuk lingkaran sebagai keperluan penting bagi menghalau gigitan nyamuk ketika menoreh.

‘Susah kalau tiada ubat nyamuk lingkaran’

Sungai Siput: “Satu lingkaran ubat nyamuk boleh digunakan sebanyak dua kali. Biasanya separuh lingkaran akan disimpan kerana bagi ubat nyamuk jenama ternama, ia boleh tahan dengan sedikit lembapan dan tidak mudah masuk angin,” kata penoreh getah, Mohd Aris Ramli.

Mohd Aris, 65, yang sudah melakukan kerja itu lebih 20 tahun, dia melihat ubat nyamuk lingkaran sebagai keperluan penting bagi menghalau gigitan nyamuk ketika menoreh.

“Kalau tiada ubat nyamuk lingkaran, ia menyusahkan penoreh. Ia digunakan sejak turun-temurun dan setakat ini, tiada kaedah lain boleh menggantikannya.

“Lagipun, ubat nyamuk lingkaran pilihan mudah dan murah berbanding penggunaan penyembur nyamuk.

“Biasanya, bagi jenama ubat nyamuk lingkaran, saya pilih berdasarkan saranan orang lama kerana mereka tahu mana yang bagus,” katanya.

Menurut Mohd Aris, dia tidak pernah menggunakan jenama lain kerana bimbang kesannya tidak sebaik dengan jenama yang sudah biasa dipakai untuk menoreh.

“Jenama yang ‘pelik-pelik’ saya tidak berani pakai kerana bimbang keberkesanannya. Setakat ini, saya selesa dengan jenama sedia ada kerana sudah serasi dan tiada kesan buruk seperti sesak nafas,” katanya.

Sementara itu, Rased Abdul, 72, berkata, biasanya, penoreh akan menggunakan kotak simpanan khas untuk mengisi ubat nyamuk lingkaran sebelum ia diikat di pinggang.

“Siapa yang menoreh sudah sedia maklum, ubat nyamuk lingkaran akan dinyalakan dan disimpan dalam bekas logam bulat khas lalu diikat pada pinggang. Tujuannya, waktu berjalan, asapnya boleh menghalau nyamuk.

“Setakat ini saya tidak pernah lagi cuba pakai jenama selain jenama lazim diguna pakai kerana sudah biasa dengannya.

“Harganya juga masih murah dan tidak perlu saya ganti kepada ubat nyamuk lingkaran yang tiada kualiti atau berjenama pelik,” katanya.

Menurutnya, setakat ini, sejak berpuluh tahun menggunakan ubat nyamuk lingkaran, dia tidak terkesan dengan asap atau abunya membabitkan kesihatan.

Produk tak berdaftar beri kesan lebih buruk

Kuala Lumpur: Ubat nyamuk lingkaran berdaftar dihasilkan daripada bahan kimia yang diluluskan dan disahkan selamat kepada manusia.

Namun, ada juga bahan yang toksik kepada nyamuk dan serangga, tetapi tidak selamat kepada manusia.

Ketika mendedahkan perkara itu, Pakar Toksikologi Prof Dr Mustafa Ali Mohd berkata, penggunaan ubat nyamuk lingkaran tidak berdaftar boleh memberikan kesan buruk terhadap kesihatan pengguna untuk jangka masa panjang.

“Ini kerana ubat nyamuk lingkaran tidak berdaftar mengandungi bahan kimia yang tidak diketahui kandungannya dan merbahaya kepada pengguna.

“Selalunya, produk yang tidak berdaftar, maklumat mengenai kandungan bahannya tidak ditulis pada kotak atau bungkusan itu.

“Boleh jadi bahan kimia yang digunakan dalam menghasilkan ubat nyamuk lingkaran tidak berdaftar mengandungi bahan tidak dibenarkan yang memudaratkan,” katanya.

Menurut beliau lagi, kebanyakan ubat nyamuk lingkaran mengandungi satu atau lebih campuran perawis aktif pyrethroid sintetik dan beberapa bahan lain yang diluluskan oleh Lembaga Racun Makhluk Perosak (LRMP).

Katanya, selain pewarna, terdapat bahan lain pada ubat nyamuk ini yang mengeluarkan asap apabila dibakar lalu memasuki paru-paru.

“Satu lagi bahan terkandung dalam asap ubat nyamuk ini ialah hidrokarbon yang mana boleh memasuki paru-paru dan menyebabkan gangguan pernafasan.

“Manakala synergist adalah campuran beberapa bahan aktif digunakan supaya ubat nyamuk ini lebih berkesan,” katanya.

Menurut beliau, pengguna dinasihati supaya memilih ubat nyamuk yang mempunyai jenama kukuh dalam pasaran dan bukannya membeli berdasarkan harganya yang murah. HM

Penguatkuasa jangan tidur! Tiada penguatkuasaan punca perokok kembali berani


Sebaran :

Leave a Reply