Polis rampas dua senapang patah, 46 peluru hidup di Gua Musang

 

GUA MUSANG: Polis merampas dua laras senapang patah bersama 46 butir peluru hidup selepas menahan sebuah kereta dinaiki lima lelaki di Jalan Aring Empat, awal pagi semalam.

Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat berkata, kenderaan dinaiki lima lelaki tempatan berusia 25 hingga 38 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang pada 2.30 pagi.



“Sebaik pemeriksaan dilakukan, polis menemui dua laras senapang patah bersama 46 peluru hidup pelbagai jenis yang diletakkan secara berasingan dalam kenderaan tersebut, lima lelaki berkenaan juga gagal menunjukkan lesen pemilikan senjata terbabit.

“Mereka yang bekerja di sebuah ladang sawit berhampiran mengakui senapang patah itu digunakan untuk memburu binatang dalam kawasan ladang terbiar di situ.

“Turut ditemui di dalam kenderaan itu dua kerambit, 29 biji pil kuda dan sebotol air ketum,” kata beliau pada sidang media di IPD Gua Musang hari ini.

Shafien berkata, seorang daripada mereka didapati positif dadah jenis syabu.



“Mereka ditahan reman sehingga 7 April untuk membantu siasatan, polis kini mengesan seorang lagi lelaki yang dipercayai ada kaitan dengan senjata api terbabit.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Penalti Lebih Berat (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960,” kata beliau.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker