Kerajaan UK berdepan tindakan undang-undang, didakwa guna PPE buatan Malaysia?

Sebaran :


KERAJAAN United Kingdom (UK) berdepan tindakan undang-undang selepas menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) buatan Malaysia yang dikaitkan dengan penggunaan buruh paksa.

Memetik laporan eksklusif oleh portal UK The Independent pada April 2, sebuah firma undang-undang berpangkalan di London, Wilson Solicitors didakwa membuat laporan kepada Jabatan Kesihatan dan Penjagaan Sosial (DHSC) UK berhubung pengeluaran sarung tangan di Malaysia daripada syarikat-syarikat yang dipercayai mengeksploitasi buruh.

Sepanjang pandemik COVID-19, Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) iaitu sistem kesihatan awam UK menggunakan sarung tangan yang dikeluarkan oleh Brightway, Supermax dan Top Glove.

Wilson Solicitors mendakwa ketiga-tiga pengeluar sarung tangan itu terlibat dalam “pelanggaran hak asasi manusia yang amat teruk”.



Firma berkenaan mewakili beberapa pekerja asing, antaranya ada yang masih bekerja dengan pengeluar sarung tangan di Malaysia serta bekas pekerja.

Menurut peguam-peguam di firma tersebut, klien mereka mengalami dan menyaksikan pelanggaran hak buruh secara berleluasa di kilang-kilang syarikat itu di Malaysia.

Antaranya termasuk bekerja untuk tempoh yang berpanjangan tanpa rehat dan cuti, tempat penginapan yang tidak selamat, penyimpanan pasport, bayaran pengambilan pekerja yang berlebihan sehingga menjurus kepada sistem perhambaan, serta protokol keselamatan COVID-19 yang lemah.

Salah seorang pekerja mendakwa telah hilang anggota badan akibat suasana pekerjaan yang tidak selamat, menurut peguam.



Manakala beberapa pekerja lain mendakwa tidak dibenarkan untuk keluar dari Malaysia kerana pasport ditahan oleh majikan, walaupun selepas meninggalkan syarikat-syarikat mereka.

Dalam sepucuk surat kepada DHSC, peguam-peguam berkenaan meminta kerajaan menjelaskan tindakan yang diambil untuk memastikan PPE yang dibekalkan kepada NHS patuh kepada standard undang-undang dan etika yang tertinggi.

Kerajaan UK diberi masa sehingga 14 April untuk membalas, namun mungkin akan berdepan tuntutan mahkamah oleh Wilson Solicitors di Mahkamah Tinggi sekiranya tidak memberi penjelasan yang munasabah.

Sebelum ini, laporan oleh The Independent mendakwa kerajaan UK tahu-menahu tentang pelanggaran hak asasi manusia di kilang-kilang sarung tangan di Malaysia sejak November 2019.



Usaha Astro AWANI untuk mendapatkan komen daripada ketiga-tiga syarikat masih berterusan. Awani


Sebaran :

Leave a Reply