Umno ada maruah dan harga diri, bukan hamba untuk dibuli diganyang, kata Zahid


Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu mempunyai maruah dan harga diri, serta bukan hamba yang mudah untuk dibuli dan diganyang.

Disebabkan itu juga katanya, akar umbi dan perwakilan memberikan mandat meminta Umno menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional serta menggesa Ahli Parlimen Umno meletakkan jawatan menteri, timbalan menteri dan pengerusi GLC.

“Saya akui selama ini saya diminta untuk membubarkan Umno. Parti ini sudah berusia 75 tahun dan jasanya buat agama, bangsa dan tanah air tidak ternilai.

“Kedegilan saya membubarkan Umno menyebabkan saya kini berdepan laluan yang amat sukar,” katanya dalam Facebook.

Zahid ketika pada ucapan penagguhannya pada perhimpunan agung Umno Ahad, berkata perwakilan memberikan mandat untuk parti itu menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional pada bila-bila masa, lebih-lebih lagi jika tidak ada petunjuk bila PRU15 akan diadakan.

Zahid yakin apabila Umno keluar daripada kerajaan PN, pemimpinnya yang menjadi menteri dan yang memegang jawatan kanan lain dalam kerajaan akan mendukung keputusan berkenaan dan menarik diri.

Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Nazri Aziz, turut menyifatkan menteri Umno yang tidak berani meletak jawatan sebagai pengecut dan dianggap tidak setia kepada parti dan suara akar umbi.

Dalam pada itu, Zahid berkata beliau sedar beliau antara ahli politik yang berdepan pertuduhan paling banyak di Malaysia kerana enggan tunduk dengan desakan untuk membubarkan Umno.

“Saya juga tahu, kedegilan itu menyebabkan saya tidak dilantik sebagai menteri. Tetapi, itu bukanlah perjuangan saya.

“Perjuangan sebenar adalah tentang nasib agama, bangsa dan tanah air yang akan diteruskan. Jika menurut perintah bubarkan Umno, semuanya akan musnah,” katanya. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker