Tiga beranak maut, empat parah
Papar: Suami, isteri dan anak perempuan maut manakala empat lagi anak pasangan itu cedera selepas lori penunda terbabas di Kilometer 42 Jalan Kimanis-Keningau, dekat sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, lori penunda yang dinaiki tujuh sekeluarga terbabit juga dikatakan sedang membawa van, dalam perjalanan dari Keningau menuju ke Kota Kinabalu.
Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, siasatan awal mendapati, lori penunda terbabit dipercayai dipandu laju sebelum tiba-tiba hilang kawalan.
Katanya, ia terbabas sendiri ke jalan bertentangan sebelum melanggar tebing bukit dalam keadaan menuruni bukit.
“Polis percaya brek lori berkenaan gagal berfungsi dengan baik dan akibat daripada kemalangan itu, pemandu lori tersepit di tempat duduk hadapan lori manakala isteri dan salah seorang anak perempuannya pula terhumban keluar.
“Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik Hospital Papar yang hadir membantu di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Batholomew berkata, empat lagi mangsa yang cedera dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Papar untuk mendapatkan rawatan segera.
Katanya, tiga mangsa yang maut berusia 12 hingga 40 tahun manakala empat yang cedera berusia 4 hingga 15 tahun.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar turut berada di lokasi kemalangan bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit. HM