Varian Covid-19 dikesan di Afrika Selatan kini menular di M’sia

Sembilan kes positif Covid-19 di Malaysia dikenal pasti dijangkiti varian South African B.1.351, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kewujudan varian itu mula dikenal pasti dalam kalangan empat kes tempatan pada Mac 2021.

Hasil siasatan awal mendapati keempat-empat kes itu mempunyai kaitan lokasi geografi dan berhubung rapat dengan Kluster Jalan Lima seperti yang ditunjukkan dalam analisis filogenetik.

“Dua kes dipercayai dari Kluster Jalan Lima yang merupakan pekerja di sebuah syarikat berpangkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Bagaimanapun, cara penularan atau jangkitan varian B.1.351 kepada pekerja kes itu sukar untuk dikenal pasti dan disahkan.

“Satu kes pula adalah daripada Kluster Kebun Baru dan satu kes lagi merupakan ahli keluarga kepada kes positif Covid-19 yang tinggal serumah,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19, hari ini.

Susulan penemuan pertama varian itu, Dr Noor Hisham berkata lebih banyak ujian jujukan genom dijalankan dengan menggunakan sampel positif Covid-19 dari lokasi geografi termasuk daerah Kuala Langat dan Sepang.

Beliau berkata hasil ujian menunjukkan terdapat lima kes lagi dikesan dari lokaliti itu yang dijangkiti varian berkenaan dengan empat kes daripada Kluster Kebun Baru dan satu kes daripada Kluster Jalan Lima.

Dr Noor Hisham berkata Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengenal pasti dan mengesahkan kewujudan varian South African B.1.351 dalam kalangan kes positif Covid-19 tempatan melalui survelan genomik.

Strategi survelan genomik ini, kata beliau, melibatkan sampel yang disahkan positif sepanjang Januari tahun ini hingga semalam.

“Ia melibatkan kes positif daripada kluster tempatan di Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka, Sabah, Sarawak dan Labuan; kes positif dengan sejarah perjalanan ke negara lain serta kes kematian disebabkan Covid-19,” katanya.

Penemuan varian South African B.1.351 pertama kali dilaporkan di dunia pada Disember tahun lepas di United Kingdom dan Afrika Selatan, kata Dr Noor Hisham.

Beliau berkata sejak awal tahun ini kewujudan varian itu turut dilaporkan oleh negara lain termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Jerman, Australia, dan Korea Selatan.

 Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker