Shahidan: Umno dan Bersatu ‘masih menikah, setuju cerai masa PRU’
Bekas menteri di jabatan perdana menteri, Shahidan Kassim menafikan tuduhan yang kononnya dia adalah ‘broker’ bagi menarik ahli parlimen Umno menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Jelas Ahli Parlimen Arau itu, Umno dan Bersatu “masih belum bercerai” dan dia akan terus berkawan dengan pemimpin PN.
“Bila saya berkawan (dengan PN, Bersatu), dituduh saya ejen dan ‘broker’, saya tak perlu jadi ‘broker’, saya lebih hebat daripada ejen-ejen ‘broker’ yang ada dekat perhimpunan agung Umno (PAU).
“(Umno) setuju ‘cerai’ masa pilihan raya umum (PRU), sekarang masih bernikah dan saya akan terus berkawan dengan mereka.
“Saya yakin sekarang orang tengok saya macam musuh,” kata Shahidan pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini
Pada Ahad lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata usul memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu yang menerajui kerajaan PN itu dipersetujui sebulat suara oleh perwakilan parti yang menghadiri PAU 2020.
Umno juga katanya akan menetapkan garis masa untuk menarik diri daripada terus menyokong kerajaan PN.
Perwakilan PAU Ahad lalu juga mencabar menteri dan timbalan menteri supaya meletakkan jawatan selaras dengan keputusan parti itu.
Hari ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memaklumkan dia telah menemui para menteri Umno dan menasihati mereka untuk kekal dalam kerajaan
“Alhamdulillah, atas nasihat yang saya berikan, kesepakatan telah dicapai bahawa semua menteri Umno akan terus kekal berada dalam kabinet,” kata Muhyiddin.
Sementara itu, Shahidan berkata PAS perlu menyatakan pendirian mereka dengan Umno dalam Muafakat Nasional (MN) selepas menyatakan pendirian PAS bersama Bersatu dalam PN.
“PAS masih berunding dengan Umno dalam MN. PAS isytihar bekerjasama (dengan Bersatu) sebelum runding dengan Umno tak wajar, sebab PAS ada piagam dengan Umno (dalam MN).
“PAS perlu bagi tahu apa syarat mereka untuk terus kerjasama (dengan Umno), jadi PAS elok menyatakan pendirian mereka tentang MN,” katanya lagi.
Terdahulu, Bersatu dan PAS tampil dalam satu kenyataan bersama oleh setiausaha agung parti masing-masing Takiyuddin Hassan dan Hamzah Zainudin.
Mereka berkata Bersatu dan PAS akan terus mengukuhkan kerjasama dalam PN bagi menghadapi PRU ke-15 nanti.
“Bersatu dan PAS bertegas menolak sebarang bentuk ‘penjajaran baharu’ untuk menubuhkan kerajaan pasca-PRU15, terutama yang melibatkan PH dan sekutunya,” kata mereka hari ini.
Mengulas lanjut, Shahidan berkata adalah silap untuk “tidak berkawan” dengan Bersatu dan PAS kerana Umno masih lagi dalam kerajaan PN.
“Sebenarnya siapa yang tak berkawan dengan Bersatu itu salah, sebab kita akan bercerai masa PRU bukan sekarang…
“Sekarang kita sokong kerajaan PN, esok saya akan jumpa perdana menteri dan menteri-menteri Bersatu.
“Siapa yang tak nak berkawan drngan Bersatu, PAS pada masa sekarang adalah salah sebab kita masih di bawah kerajaan PN kecuali ahli Parlimen kita (BN) bubarkan kerajaan, tarik diri.
Katanya, meskipun Majlis Tertinggi (MT) Umno membuat keputusan namun, yang menentukan sama ada sokongan pada kerajaan PN ditarik balik ataupun tidak adalah ahli parlimen BN.
Calar imej parti jika letak jawatan sekarang, kata Reezal Merican