PAU tak arah pemimpin Umno letak jawatan, kata Ismail Sabri

Perhimpunan agung Umno baru-baru ini tidak meluluskan sebarang resolusi yang mengarahkan ahlinya meletak jawatan daripada Kabinet atau jawatan kerajaan, kata Naib Presidennya, Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Menteri kanan untuk keselamatan itu dipetik Malay Mail sebagai berkata, perhimpunan agung itu turut memutuskan Umno akan kekal dalam kerajaan pimpinan Perikatan Nasional sehingga Parlimen dibubarkan.

“Sebenarnya, tidak ada keputusan dalam PAU yang mengarahkan menteri-menteri, menteri besar, timbalan menteri, Exco, pengerusi GLC untuk menarik diri, tidak ada.

“Kerana di dalam PAU, usul yang diluluskan adalah usul yang ‘endorse’ keputusan MKT (Majlis Kerja Tertinggi Umno), iaitu kita terus kekal dalam kerajaan sehingga Parlimen dibubarkan,” katanya yang juga menteri pertahanan.

Gesaan awal untuk pemimpin Umno melepaskan jawatan dalam kerajaan dibuat veteran parti itu, Tengku Razaleigh Hamzah, yang menggesa menteri, timbalan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan segera berundur daripada jawatan mereka.

Tengku Razaleigh membuat gesaan itu selepas Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata, Umno menentang kerjasama dengan PPBM, Anwar Ibrahim atau DAP, dan parti itu akan bertanding di bawah Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-15.

Semalam, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan semua menteri Umno akan kekal dalam Kabinet, selepas menasihatkan mereka berbuat demikian demi kepentingan rakyat dan negara.

Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican mempertahankan keputusan mereka tidak meletak jawatan, dengan mendakwa berundur daripada Kabinet akan menjejaskan nama dan imej Umno.-FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker