Keganasan meningkat, rakyat Malaysia tetap pilih tinggal di Myanmar
Mendengar tembakan pada waktu malam menjadi kebiasaan baru bagi Andy, seorang rakyat Malaysia yang tinggal di Yangon, Myanmar.
Hanya dua hari sebelum wawancara ini, sebuah hospital bersalin berhampiran kawasan perumahannya dihujani tembakan; bunyi yang kini mengingatkannya kepada seorang
bekas rakan sekerja yang terbunuh dalam kejadian yang berasingan.
“Saya juga ada bekas rakan sekerja yang ditangkap ketika memandu di bandar. Mereka tarik dia keluar dari kereta dan dipukul tanpa sebab, kejadian ini benar-benar berlaku kepada orang yang saya kenal,” katanya.
Tentera Myanmar melakukan rampasan kuasa pada 1 Februari lalu dan menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokratik.
Berikutan itu, gelombang perlawanan yang luar biasa muncul. The Civil Disobedience Movement, atau CDM, dilancarkan.
Warga Myanmar turun ke jalan untuk memprotes dan melakukan mogok, malah sistem perbankan juga lumpuh.
Selama hampir dua bulan beratus-ratus orang menghadapi konflik apabila kerajaan tumbang dan Junta tentera terus menindas negara itu.
Di tengah pergolakan ini, sesetengah warga asing melarikan diri dari negara ini. KiniTV menembual tiga rakyat Malaysia yang memutuskan untuk kekal berada di negara ini.
Andy, Ann dan Ben adalah rakyat Malaysia yang bekerja di syarikat tempatan sebagai eksekutif dan tinggal di Myanmar selama lebih daripada tujuh tahun. Kesemua mereka terperangkap apabila berlaku rampasan kuasa secara tiba-tiba.
“Saya terkejut. Sungguh tak sangka setelah hampir 10 tahun demokrasi, mereka akan kembali kepada ini,” kata Ann melalui panggilan video dengan KiniTV menggunakan rangkaian WiFi di lobi hotel di Yangon.
Sejak rampasan kuasa pada Februari lalu, pemerintah tentera secara berkala menyekat perkhidmatan internet mudah alih di sebahagian besar negara itu. Oleh kerana itu, Ann kini perlu keluar untuk mencari tempat yang masih mempunyai jaringan sistem jalur lebar.
Seorang lagi rakyat Malaysia, Ben, berkata dia jarang keluar rumah sejak rampasan kuasa berlaku dan hanya keluar antara pukul 6 pagi hingga 9 pagi, jika perlu.
“Terdapat banyak rasa tidak selamat di sini. Esok, mungkin ada sekatan di depan rumah tempat saya tinggal, akan ada tentera di depan rumah tempat saya tinggal. Boleh jadi, tak siapa tahu,” katanya kepada KiniTV.
Sementara itu, Andy berkata protes kini bukan lagi mengenai politik tetapi menolak keganasan.
“Semua rakan sekerja saya, mereka semua turun ke jalan. Sebilangan syarikat benarkan pekerja mereka turun ke jalan raya kerana itu adalah hak mereka.
“Pada mulanya, ia politik, tapi setelah pembunuhan bermula, ia adalah (isu) kemanusiaan. Ia bukan lagi bersifat politik.
“Kekejaman dan keganasan tidak masuk akal. Kami berada di negara ini, jadi kami menyaksikannya. Rakyat berjuang untuk hidup mereka,” kata Andy.
Beberapa rakan Andy bersembunyi ketika nama mereka disiarkan di TV nasional, dalam usaha tentera mengambil tindakan tegas bagi memerangi CDM.
Walaupun keadaan di Myanmar semakin buruk, Anne, Andy, dan Ben menganggap diri mereka bernasib baik kerana masih dapat bertahan dalam pekerjaan mereka.
Namun, alasan mereka memilih untuk kekal berada di negara itu bukan hanya kerana kerja tetapi juga rasa simpati terhadap rakyat Myanmar dan ingin terus bersama sahabat dan rakan sekerja mereka.
“Kami bukan hanya di sini kerana perniagaan. Kami ada kawan-kawan di sini, kami ada hubungan yang bagus dengan penduduk tempatan yang boleh membantu keperluan kami dan apa yang boleh kami lakukan adalah berusaha menyokong mereka,” katanya.