Sudah terang tak perlu suluh, MN tinggal Umno, BN saja



Sebaran :


Ikrar PAS dan Bersatu untuk mengukuhkan kerjasama dua parti itu dalam Perikatan Nasional (PN), jelas menunjukkan PAS tidak lagi memperkasa Muafakat Nasional (MN) bersama Umno, kata Ketua Umno Bahagian Johor Bahru Shahrir Samad.

Oleh itu, kata veteran Umno itu, di parlimen Johor Bahru dan dua DUN-nya, iaitu Larkin dan Stulang, BN akan berdepan pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15 nanti.

“PAS bersama PN menolak sebarang percubaan menggugat kerajaan PN! PAS tidak lagi memperkasakan MN yang kini menjadi milik Umno dan BN sahaja.



“Kenyataan terbaru secara bersama PN dan PAS mempertahankan kerajaan PN meletakkan ahli-ahli parlimen BN yang berada dalam kerajaan PN dalam kedudukan yang janggal.

“Sudah tidak perlu untuk mereka menunggu sehingga parlimen dibubarkan.

“Bila sudah terang, tidak perlu lagi untuk bersuluh!” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.



Perhimpunan agung Umno beberapa hari lalu memutuskan bahawa Umno harus keluar daripada kerajaan PN, tetapi menyerahkan kepada presidennya Ahmad Zahid Hamidi untuk menentukan garis masanya.

Ia turut membuat keputusan untuk memutuskan hubungan kerjasama dengan Bersatu dalam PRU15, tetapi masih berharap rundingan dapat dilakukan bersama PAS – yang kini semakin cenderung ke arah Bersatu.

Terdahulu hari ini, PAS dan Bersatu mengeluarkan kenyataan bersama, bahawa keduua-dua parti itu akan mengukuhkan kerjasama dalam PN bagi menghadapi PRU-15.



Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berjanji bahawa PRU-15 akan diadakan setelah ancaman Covid-19 reda.

Mereka turut bertegas menolak sebarang bentuk penjajaran baharu untuk menubuhkan kerajaan pasca-PRU15, terutama yang melibatkan PH dan sekutunya, namun terbuka bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mendukung hasrat memperkukuh penyatuan ummah dan perpaduan seluruh masyarakat majmuk.

Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Abdul Aziz, bagaimanapun menyifatkaan kenyataan bersama PAS-Bersatu itu tidak lebih sekadar “window dressing” (muslihat untuk beri gambaran salah).



Katanya, di sebalik kenyataan pemimpin tertinggi PAS, akar umbi PAS sebenarnya tetap memilih kerjasama dengan Umno melalui MN.

Untuk rekod, MN merupakan kerjasama tidak rasmi antara PAS dan Umno susulan kekalahan Umno-BN dalam PRU-14. Sebelum itu, kedua-dua parti itu terkenal sebagai musuh politik.

PN didaftarkan sebagai satu gabungan politik, terdiri daripada Bersatu, PAS dan beberapa parti lain, serta disokong oleh Umno-BN. Ia terbentuk selepas kejatuhan kerajaan PH susulan Langkah Sheraton pada Februari tahun lalu. Mk




Sebaran :


Leave a Reply