Tiada kerjasama untuk PRU-15? Itu hanya ucapan di PAU – Anwar


KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap ucapan Presiden UMNO tidak mahu bekerjasama dengannya dalam PRU-15 itu dianggapnya sekadar ucapan dalam satu perhimpunan.

Beliau berpendapat, UMNO mempunyai mandat bagi membuat resolusi terakhir sebelum memutuskan untuk meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Itu ucapan dalam Perhimpunan Agung UMNO. Saya dari Parti Keadilan. Saya rasa ini merujuk kepada keputusan yang lebih baik di pihak tertinggi tetapi mereka juga mempunyai mandat untuk resolusi terakhir bagi meninggalkan kerajaan PN.

“Jadi, ini adalah paradiksi kepada para pemimpin UMNO untuk memutuskannya,” katanya ketika ditemui selepas Forum Demokrasi di Malaysia anjuran Institut Strategi Antarabangsa di sini hari ini.

Hadir sama pada forum berkenaan ialah Presiden Parti Cinta Sabah, Datuk Seri Anifah Aman.

Ketika diminta memberikan reaksinya berhubung perkara itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menegaskan, kerjasama yang mahu dijalinkan bersama UMNO masih lagi dalam perbincangan.

“Saya nak kata ini masih lagi dalam perbincangan…saya berbincang dengan semua pihak termasuk dengan Anifah Aman sebentar tadi.

“Dalam demokrasi dan proses yang matang keterlibatan adalah sangat penting berasaskan nilai dan prinsip.

“Sebaliknya, jika ragu-ragu dengan ini (kerjasama) kita perlu melihat batasannya walaupun ketika pemerintahan Pakatan Harapan..Kita mesti belajar dan kita tidak boleh berkompromi dengan perkara ini,” ujarnya.

Sebelum ini media melaporkan, Anwar tidak menolak kemungkinan menjalinkan kerjasama dengan UMNO walaupun perbincangan mengenainya masih belum dilakukan secara formal.

Anwar dilaporkan berkata, kerjasama itu disokong beberapa pemimpin dan ahli Parlimen daripada UMNO serta ia akan menjadi kenyataan jika parti terbabit bertekad memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bagaimanapun, Anwar berkata, masih terlalu awal untuk beliau memperincikan inti pati perbincangan bersama pemimpin UMNO.

Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) Ahad lalu berkata, parti itu menolak kerjasama dengan PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, setakat ini, tidak ada perbincangan berkaitan dengan mana-mana parti berkenaan sama ada secara rasmi atau tidak rasmi.

Sementara itu, Anwar ketika ditanya mengenai pandangannya berkenaan demokrasi di negara ini selepas Parlimen digantung menganggap ia jelas menunjukkan tonggak demokrasi telah terkubur.

Katanya, walaupun boleh berbicara tentang demokrasi dan institusi tetapi masalah yang dihadapi rakyat seperti kemiskinan tidak dapat dibincangkan.

“Sebab itu saya berikan angka-angka yang membimbangkan tentang bumiputera…tentunya bumiputera di Sabah dan Sarawak yang mesti diwacanakan.

“Kalau tidak nanti kita hanya bincang tentang konsep-konsep dan tidak menyentuh tentang kemiskinan rakyat pelbagai kaum,” katanya.

Beliau menegaskan, untuk meningkatkan kesedaran rakyat perkara seperti itu tidak harus terbatas pada wacana di bilik-bilik hotel tetapi ia mesti turun ke bawah.

“Cerdik pandai dan golongan elit jangan hanya duduk selesa mereka mesti anggap ini sebagai tanggungjawab bersama,” ujarnya. MG

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker