Pengecualian daripada sidang iklim AS tamparan buat Putrajaya

Sebaran :


Aktivis alam sekitar menggesa kerajaan melihat pengecualian Malaysia daripada sidang kemuncak tindakan iklim yang dianjurkan Amerika Syarikat (AS) sebagai satu seruan untuk meningkatkan usaha negara menangani isu perubahan iklim.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Eko-pelancongan dan Pemuliharaan Malaysia (Ecomy) Andrew Sebastian berkata, pengecualian tersebut ibarat satu tamparan buat Putrajaya kerana negara gagal mengekalkan reputasinya sebagai pemimpin Asia Tenggara dalam tindakan iklim.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kita melihat trend menurun, dengan kerajaan kita gagal menunjukkan kepemimpinan dalam menangani isu-isu alam sekitar tempatan.

“Oleh itu, reputasi kita jatuh di peringkat global,” kata beliau kepada FMT.



Sebastian berkata, negara telah ketinggalan dalam usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan mengintegrasikan langkah perubahan iklim ke dalam kerja agensi kerajaan kerana tanggungjawab berkenaan alam sekitar ketika ini terbahagi kepada beberapa kementerian.

“Sektor perladangan, persekitaran, dan sumber asli berada bawah tiga kementerian yang berasingan. Kita perlu menangani (hal ini),” kata beliau.

Dalam kerajaan Pakatan Harapan, isu berkenaan tenaga, sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim berada bawah satu kementerian.

Kata Sebastian, orang awam perlu memastikan kerajaan bertanggungjawab dan kerajaan mesti menjelaskan rancangannya bagi melindungi dan mengurus sumber asli negara.



“Soalan yang perlu ditanya: Bagaimana kita hendak melangkah ke hadapan? Bagaimana boleh kita tunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia serius dalam melindungi alam sekitar dan sekali lagi menjadi pemimpin?”

Sidang Kemuncak Pemimpin mengenai Iklim yang dipengerusikan Presiden AS Joe Biden itu akan berlangsung secara maya pada 22 dan 23 April dan bakal disiarkan secara langsung untuk tontonan umum.

Ia akan menampilkan pemimpin dunia dari 40 negara, termasuk Singapura, Indonesia dan Vietnam.

Terdahulu, Rumah Putih dalam kenyataan berkata, jemputan terdiri daripada “ketua-ketua negara yang menunjukkan kepemimpinan berkenaan iklim, ketua-ketua dari negara yang rentan terhadap impak iklim, dan yang sedang memeta laluan inovatif ke arah ekonomi net sifar”.



Bekas perdana menteri Najib Razak semalam mempersoalkan sama ada pengecualian Malaysia adalah disebabkan reputasi global negara yang telah jatuh.

Bagaimanapun, Presiden Sahabat Alam Malaysia Meenakshi Raman berkata, pengecualian daripada “acara luar yang dianjurkan AS” itu bukanlah sesuatu yang perlu dikesali.

Kata beliau, satu-satunya perbincangan yang bermakna adalah perbincangan bawah Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perubahan Iklim dan Perjanjian Paris.

Persidangan Perubahan Iklim PBB ke-26 dijadualkan pada November ini, menurut beliau.

“Sidang kemuncak yang dianjurkan Biden itu bukanlah sebahagian daripada konvensyen ini. Ia adalah proses luaran.

“Negara-negara bebas untuk menganjurkan acara lain di luar tetapi mereka tidak boleh membuat keputusan secara eksklusif bagi pihak negara lain dan memaksa negara-negara menerimanya tanpa rundingan,” kata beliau. FMT


Sebaran :

Leave a Reply