Aurat terdedah ketika solat, batal atau tidak? Ini penjelasannya
Biasalah, mana-mana ibu bapa kalau ada anak kecil ni memang renyah dibuatnya. Apa juga yang nak dilakukan pasti ada saja kesulitan. Apatah lagi jika anak kecil yang baru dapat kaki dan dalam proses membesar.
Paling tidak tahan ketika sedang solat, ada sahaja aktivitinya yang membuatkan kita tidak khusyuk. Dipanjatnya kita, ditariknya kain telekung semua, hingga terdedah pula aurat. Dah kalau begitu situasinya, bagaimana pula dengan kedudukan solat kita, masih sahkah atau pun terbatal?
Sebelum menjawab persoalan di atas, elok kiranya difahami dahulu antara syarat sah solat ialah menutup aurat dengan sempurna dari mula takbir sehingga memberi salam. Aurat bagi lelaki di dalam solat adalah bahagian di antara pusat hingga lutut.
Manakala untuk kaum hawa yang merdeka pula, keseluruhan tubuh badannya melainkan muka dan pergelangan tangan.
Rambut bagi wanita adalah aurat yang wajib ditutup. Dari Aisyah r.ha. dari Baginda s.a.w. bersabda,
“Tidak diterima solat seorang wanita yang sudah berhaid itu melainkan dengan memakai khimar (tudung).” – HR Abu Daud
Imam as-Syirazi menyebutkan, “Jika terdedah suatu pun dari jenis aurat, sedangkan dia mampu menutupnya maka tidak sah solatnya.”
Imam Nawawi pula menyimpulkan batal solat seseorang yang terdedah aurat secara banyak atau sedikit. Orang yang mendapati auratnya terdedah selepas solat hendaklah dia mengulangi kembali solatnya.
Manakala bagi mazhab as- Syafie, menganggap aurat itu keseluruhannya perlu ditutup semasa solat, dan jika terdedah samada sedikit atau banyak wajib segera ditutupi. Jika tidak maka batal solatnya.
Sah solat dengan syarat segera tutup
Berbalik kepada persoalan di atas, adakah sah solat jika auratnya terdedah tanpa sengaja? Jumhur ulama berpendapat sekiranya kain atau pakaian kita terselak tanpa sengaja samada ditiup angin atau kerana ditarik anak kecil maka hendaklah ditutup dengan segera aurat yang terbuka. Hukumnya dimaafkan dan tidak batal solatnya.
Dalam kitab al-Fiqh al Islami menyebutkan,
“Terdedah aurat orang yang sedang solat secara tiba-tiba disebabkan angin contohnya, tanpa dia sengaja dan kemudian menutupnya dengan kadar yang segera maka tidak batal solatnya di sisi ulama-ulama mazhab Syafie dan Hanbali kerana dia tidak mempunyai niat atau sengaja mendedahkan auratnya.
“Akan tetapi jika disebabkan kecuaian atau mengambil masa yang lama untuk menutupnya kembali maka batal solatnya dengan sebab cuai. Dan sebab yang lama terdedah itu juga menjadi sesuatu yang keji, sedangkan ia boleh memeliharanya. Oleh itu tiada maaf baginya.”
Aurat yang terdedah secara sedikit dan tidak disedari ia dimaafkan. Itu kerana ia berlaku tanpa kawalan (itu pun selepas ia berusaha menutup) dan dalam masa sama tidak disedari.
Jika pada awalnya disedari, maka wajib untuk segera menutupnya dan menyambung solat seperti biasa kerana tidak batal solatnya.
Akan tetapi sekiranya ia menyedari auratnya terdedah, tetapi ia tidak mengendahkannya dan membiarkannya maka solatnya batal dan wajib mengulangi semula dengan menutup aurat dengan sempurna.
Situasi ini kerap juga berlaku bukan sahaja kepada ibu-ibu yang punya anak kecil tetapi para lelaki yang memakai baju singkat hingga terdedah bahagian punggungnya dan terlihat jelas pakaian dalamnya.
Dalam hal ini memang sah batal solatnya dan wajib dia mengulang kembali solatnya kerana mustahil dia tidak menyedari yang aurat bahagian punggungnya telah terdedah. Wallahu a’lam. Utv
You must be logged in to post a comment.