Ahmad Zahid kini penentu hayat kerajaan PN: Penganalisis

Ketetapan dalam Persidangan PAU 2020 dijangka mengakibatkan banyak jawatan menteri, timbalan menteri dan pengerusi GLC diterajui pemimpin UMNO terpaksa dikosongkan.

SHAH ALAM – Ketetapan dibuat dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 pada Ahad seperti memberi lesen kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menentukan hayat kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ahmad Zahid boleh meminta ‘anak buahnya’ meletakkan jawatan dalam Kabinet pada bila-bila masa jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ditangguhkan ke satu tempoh yang lebih panjang.



Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Dr Syed Agil Alsagoff berkata, pemimpin UMNO yang menganggotai Kabinet PN harus akur dengan keputusan PAU.

Menurutnya, ketetapan yang dibuat UMNO dalam perhimpunan itu akan mengakibatkan banyak jawatan menteri, timbalan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diterajui pemimpin UMNO terpaksa dikosongkan.

“Ia sekali gus menjejaskan sokongan terhadap kewibawaan kerajaan PN dari segi profesionalisme dan berlakunya rombakan Kabinet secara besar-besaran,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Syed Agil berkata, jika pemimpin UMNO masih kekal dalam Kabinet dan GLC, ia menjadi satu tamparan kepada kerajaan PN untuk meneruskan agenda kerajaan disebabkan penglibatan pemimpin parti itu.



Beberapa menteri daripada Umno bertemu Muhyiddin

Beliau berpandangan, situasi sedemikian akan mengundang kecurigaan dari segi kesetiaan terhadap kepimpinan kerajaan PN di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, pelaksanaan polisi kerajaan dalam kementerian di bawah tanggungjawab pemimpin UMNO pasti akan menghadapi kesukaran dan terganggu dengan keputusan dalam PAU 2020.



“Sudah pasti Perdana Menteri akan menyemak dan meneliti semula kedudukan senarai anggota kabinet dan GLC yang dipegang para pemimpin UMNO dari terus berkhidmat dalam Kabinet PN.

“Ia akan mendatangkan masalah untuk mengisi kekosongan malah memerlukan masa untuk meneruskan momentum pelaksanaan polisi kerajaan lebih-lebih lagi dalam tempoh darurat yang memerlukan strategi dan pelaksanaan polisi yang berkesan,” katanya.

Pada Ahad, Ahmad Zahid berkata, UMNO akan menentukan tempoh yang sesuai untuk menarik sokongan kepada kerajaan PN jika tiada indikasi untuk adakan pilihan raya dalam waktu terdekat.

Beliau yakin jika keputusan menarik sokongan itu dibuat, kesemua menteri, timbalan menteri dan pengerusi GLC sedia melepaskan jawatan masing-masing jika kerajaan PN memanjangkan waktu pilihan raya hingga akhir penggal.



Ahmad Zahid juga menegaskan keputusan UMNO untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15 akan datang adalah muktamad.

Presiden MIC Tanya UMNO Siapa Kapten dan Calon PM Kita?



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker