PAU 2020 : Umno Selangor elak lawan PAS dalam PRU15 – Noh Omar
Umno Selangor akan berusaha sebaik mungkin mengelakkan pertembungan tiga penjuru, khususnya dengan PAS, dalam usaha parti itu meraih semula kedudukan di negeri berkenaan, kata Pengerusinya, Noh Omar.
Noh berkata, ketika ini, Umno di Selangor hanya mempunyai sebuah kerusi Parlimen dan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PAS hanya memiliki sebuah kerusi DUN.
“PAS sedar, Umno juga sedar kami ini pembangkang di Selangor. Parlimen, Umno tinggal satu, ADUN pula tinggal lima. PAS ada satu ADUN, sebab itu kita tahu, kita akui kelemahan kita.
“Sebab itu semangat Muafakat Nasional (MN) di Selangor, kita berusaha tidak bertembung di Selangor. Kalau bertembung, saya bimbang apa yang berlaku pada pilihan raya umum ke-14 akan berulang lagi,” katanya semasa perbahasan di Perhimpunan Agung Umno 2020.
Noh berharap keputusan Umno Selangor itu direstui Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi, memandangkan situasi politik di Selangor berbeza jika dibandingkan dengan negeri lain.
“Kami harap presiden restui. Kami di Selangor jangan bertembung tiga penjuru, jika hendak menang di Selangor.
“Jika bertembung, Barisan Nasional (BN) lawan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH). Saya bimbang PH mungkin menang, sebab itu kami berusaha mencari jalan untuk tidak bertembung tiga penjuru,” katanya.
Beliau berharap semangat MN di Selangor tetap utuh, dengan perpaduan ummah antara Umno dan PAS terus diperkukuhkan di negeri itu.
“Kami di Selangor pegangan kita, bila berkawan kita bersahabat, jangan khianat kawan, melainkan kita dikhianati.
“Jangan rakyat lihat kita yang khianati perjuangan ini. Sebab itu di Selangor, kita buat keputusan, harapan kita jangan Umno dan PAS bertembung dalam PRI15.” FMT
You must be logged in to post a comment.