Kerjasama Perlukan Keikhlasan, Bukan Tikam Belakang – Salbiah
Kerjasama dalam parti politik memerlukan keikhlasan tanpa ada istilah cemburu antara satu sama lain, kata pembahas Usul Wanita UMNO bagi Negeri Perak, Salbiah Mohamed.
Menurutnya, keikhlasan itu di antara sebab untuk UMNO hanya meneruskan kerjasama dengan Perikatan Nasional sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Kerana ciri-ciri kerjasama antaranya mesti ada keikhlasan tapi mereka tidak ikhlas dalam hubungan ini. Penyatuan atau perpaduan mestilah berasaskan keikhlasan.
“Jangan telunjuk lurus konon atas dasar penyatuan orang Melayu demi rakyat tapi dalam masa yang sama kelingking sedang berkait,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Wanita Bahagian Gerik berkata UMNO bertindak menjaga hubungannya dengan PAS adalah kerana parti tidak pernah bertindak melampaui batas.
“Kalau di Perak kita tak dengar lagi PAS ambil ahli UMNO untuk jadi ahli mereka atau tubuh cawangan baharu dan ahlinya dari ahli UMNO cawangan tersebut.
“Tapi Bersatu telah langgar prinsip tersebut,” katanya ketika berbahas pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO, di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Ujarnya, tindakan itu berbeza seperti yang dilakukan oleh Bersatu yang seakan mencuba merampas kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) pada PRU14 lalu.
“Kerusi yang UMNO bertanding itu juga yang mereka ingin bertanding. Mana persefahamannya… mana muafakatnya dan yang penting mana keikhlasanya Bersatu ingin membentuk kerajaan bersama kita.
“Adilkah juga kiranya 55 kerusi UMNO yang ingin kita terus pertahankan tapi diminta untuk diserahkan kepada mereka.
“Jangan dituduh kita tamak kuasa hanya mempertahankan apa hak kita, bagaimana pula mereka yang telah mendapat betis tapi mengidamkan peha,” tegasnya lagi. UMNO Online
You must be logged in to post a comment.