PAU 2020: Ketua Pemuda Ingatkan Presiden Jangan Tandatangan Watikah Pemimpin Hipokrit
PAU 2021 | Pemuda Umno mengingatkan Presiden Ahmad Zahid Hamidi agar tidak menandatangani “watikah” untuk pemimpin parti itu yang bersikap hipokrit.
Perkara itu pada mulanya diajukan secara spontan seorang perwakilan Pemuda Umno yang kemudiannya disambut Ketua Pemuda Asyraf Wajdi Dusuki ketika menyampaikan ucapan dasar perhimpunan sayap parti itu, hari ini.
Ahmad Zahid pada masa itu pula sedang membuat tinjauan persidangan sayap Pemuda Umno yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn.
“Jangan sesekali diberi tempat di barisan hadapan untuk mewakili parti. Malah, ahli Umno wajar tolak hiprokrit seperti ini dalam pemilihan parti.
“Ingat pesan Nabi…Jangan sampai ular patuk dua kali. Presiden ‘take note’ (ambil perhatian)…Presiden jangan tandatangan watikah,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Pemuda Umno di PWTC, Kuala Lumpur.
Watikah itu dipercayai merujuk kepada watikah pencalonan sebagai calon BN bagi PRU ke-15 nanti.
PAU 2020: UMNO mahu kembali ke Putrajaya, Tok Mat Gariskan 3 Perkara Utama
Dalam pada itu Asyraf mengingatkan ahli dan pemimpin Umno agar menjadi lilin yang membakar diri dalam mempertahankan parti, bukannya “lembu yang dicucuk hidung”
“Antara pertahan parti menjadi lilin bakar diri, atau relakan diri menjadi lembu dicucuk hidung tuan yang mendedaknya,” katanya lagi.
Dia turut mengingatkan rakan sekutunya dalam Muafakat Nasional (MN) iaitu PAS supaya berpegang erat pada ikatan yang telah terjalin antara dua parti itu, dan tidak membiarkan pihak ketiga meleraikannya.
Untuk rekod, PAS pada masa ini selain bersama Umno dalam MN, turut bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional.
Berhubung keretakan antara Umno dan Bersatu, parti itu berpendirian ketiga-tiga parti itu perlu terus bekerjasama untuk orang Melayu dan Islam.
Kata Asyraf, kerjasama antara Umno dan PAS adalah “impian yang didambakan” berpuluh tahun lalu.
“Buat sahabat dan sekutu kami PAS di dalam MN. Pemuda ikhlas katakan penyatuan bersama kalian adalah mimpi terindah, suatu yang kita semua dambakan berpuluh tahun lamanya.
“Pegang eratlah ikatan MN ini seutuhnya. Jangan biarkan ikatan terlerai atau dileraikan oleh pihak ketiga. Kerana belum tentu peluang sebegini menjelma lagi buat kali kedua,” katanya lagi.
You must be logged in to post a comment.