PRU-15: Muhyiddin Tidak Akan Jadi PM Lagi dan Pejuang Jadi Kuasa Penentu – Mahathir

Dr Mahathir Mohamad membayangkan keadaan politik negara selepas pilihan raya umum (PRU) akan datang tidak akan berbeza berbanding apa yang ada sekarang.

Jika ada pun yang berubah nanti, ramal Mahathir, Muhyiddin Yassin tidak lagi menjadi perdana menteri semula.

Ahli parlimen Langkawi itu menjangkakan Bersatu – yang kini sudah menjadi parti berbilang kaum berbanding ketika penubuhannya dulu – tidak mungkin memenangi banyak kerusi dalam PRU ke-15.



Dengan itu, katanya, sekutu Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) dan gab ungan Muafakat Nasional (MN) akan memilih orang lain sebagai perdana menteri.

“Umno dan PAS memberi jawatan perdana menteri kepada Muhyiddin dahulu kerana mereka hanya boleh menjadi gabungan majoriti jika Bersatu keluar dari PH dan menyertai MN.

“Yang mencukupi bilangan ialah Azmin (Ali) dengan paksinya dari PKR. Secara tidak langsung Azmin diberi jawatan tertinggi tetapi bukan timbalan perdana menteri.

“Keadaan politik selepas PRU ke-15 tidak mungkin berbeza dari sekarang. Tetapi Muhyiddin tidak akan jadi perdana menteri,” katanya dalam hantaran terbaru blognya.



DAP akan menang dan jadi ‘Kuasa Penentu’ jika ‘Parti Melayu’ terus berbalah

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kata Mahathir diharapkan dapat menjadi kuasa ketiga yang akan menjadi penentu kepada gabungan kerajaan baru nanti.

“Pejuang tidak mungkin jadi kerajaan. Tetapi sokongan Pejuang akan tentukan gabungan mana yang akan jadi kerajaan.



“Sokongan Pejuang (akan diperolehi) hanya jika syarat Pejuang diterima,” tambahnya.

Selepas Langkah Sheraton tahun lalu, Muhyiddin menjadi perdana menteri kelapan melalui pembentukan PN yang dianggotai PAS bersama parti lain, dan disokong ahli parlimen Umno.

Berdasarkan kedudukan kerusi semasa, tidak ada parti yang dapat membentuk kerajaan secara sendiri melainkan menerusi gabungan dengan parti-parti lain.

Ketika hubungan Umno dan Bersatu ibarat retak menanti belah, cakap-cakap mengenai penjajaran baru kencang diperkatakan, termasuk antara Umno dan PKR.



Permohonan pendaftaran Pejuang bersama satu lagi parti baru, Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) ditolak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negara (ROS) pada 6 Jan lalu.

Sebelum ini, Muhyiddin menerima kritikan sebahagian pihak kerana dikatakan tidak mempunyai sokongan majoriti yang cukup.

Sesetengah pihak – termasuk Umno sendiri -turut menyelar pentadbirannya yang sehingga kini masih tidak membenarkan Parlimen bersidang atas alasan Covid-19.

Muhyiddin pernah memberi jaminan yang dia akan membubarkan parlimen dan memberi laluan untuk PRU-15 sebaik sahaja wabak Covid-19 terkawal.



Parti baru Dr M akan gagal jadi kuasa penentu, kata penganalisis

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker