Isu Korea Utara: Polis Kedah pertingkat kawalan keselamatan di sempadan

Sebaran :


ALOR SETAR – Polis Kedah meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan pintu masuk negara khususnya sempadan Thailand dan perairan negara berkuatkuasa serta merta.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, ia bagi mengelakkan sebarang kemungkinan kejadian tidak diingini berlaku susulan tindakan Korea Utara menamatkan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Menurutnya, pihaknya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga termasuk meningkatkan penugasan anggota di kawasan sempadan.

“Pasukan keselamatan yang menjaga sempadan negara bukan hanya membabitkan pasukan polis, sehubungan itu kita akan tingkatkan kerjasama bersama pasukan penguatkuasa keselamatan lain, antaranya Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem),” katanya pada sidang akhbar selepas sambutan peringatan Hari Polis ke-214 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK) pada Khamis.

Hasanuddin berkata, selain kawalan keselamatan di sempadan, pihaknya meneruskan kawalan dengan mengadakan Sekatan Jalan Raya (SJR) menerusi Ops benteng dan 16 SJR bagi mengekang penularan Covid-19.

“Sekatan Jalan Raya (SJR) tetap diteruskan seperti biasa, selain untuk mengekang penularan Covid-19, dari situ kita dapat mengesan penjenayah mahupun individu yang melakukan pelbagai kesalahan dan mereka dikenakan tindakan sekiranya melanggar undang-undang,” katanya.

Pada Selasa, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengarahkan semua pesuruhjaya polis, ketua polis negeri dan pengarah jabatan PDRM memantau perkembangan semasa isu Korea Utara susulan kenyataan Kaunselor Kedutaan negara berkenaan di Malaysia, Kim Yu-Song.

Ia sebagai langkah berwaspada bagi mengelakkan sebarang kemungkinan kejadian tidak diingini berlaku di negara ini.

Jumaat lepas, Pyongyang mengumumkan ia menamatkan hubungan diplomatik dengan Malaysia, apabila pada awal bulan ini mahkamah Malaysia memutuskan seorang ahli perniagaan Korea Utara boleh diekstradisi ke Amerika Syarikat, untuk menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram. Sinar

Malaysia boleh buka sempadan negara tetapi… – Hishammuddin


Sebaran :

Leave a Reply