Malaysia boleh buka sempadan negara tetapi… – Hishammuddin

Malaysia boleh membuka sempadan negara namun segalanya bergantung kepada disiplin rakyat dalam memastikan jumlah kes COVID-19 tidak meningkat dengan mendadak selepas sempadan dibuka.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tiada guna pintu sempadan dibuka dengan tergesa-gesa kerana sekiranya kes positif meningkat, negara terpaksa menutupnya semula.

“Kalau kita buka dan orang kita tidak berdisiplin dan akhirnya jumlah orang yang dijangkiti COVID-19 meningkat, kita terpaksa tutup semula (sempadan).

“Sekiranya jumlah kes kita banyak, tiada negara lain yang akan setuju mewujudkan hubungan dengan Malaysia. Ini (pembukaan pintu sempadan) memang bergantung kepada rakyat kita sama ada berdisiplin atau tidak.

“Begitupun buat masa sekarang, semuanya berada di landasan yang betul,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN – Rusia di sini pada Rabu.

Tambahnya, sekiranya sempadan negara dibuka, ia mungkin akan melibatkan beberapa negara dalam rantau ASEAN yang semakin pulih daripada COVID-19 seperti Laos, Kemboja, Myanmar dan Thailand.

“Apa pun kita akan lihat perkara ini secara berperingkat kerana COVID-19 bukanlah perkara yang pernah berlaku sebelum ini.

“Ia bergantung banyak kepada disiplin rakyat Malaysia,” ujarnya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 7 Jun lepas mengumumkan aktiviti rentas negeri dibenarkan bermula 10 Jun lepas namun tidak dibenarkan di kawasan yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Begitupun, pintu sempadan negara masih ditutup dan semua rakyat Malaysia yang pulang ke Malaysia harus melakukan saringan COVID-19 terlebih dahulu.

Awani

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker