Isu kalimah Allah: Pihak benarkan itu telah mensyirikkan Allah – Zainal Abidin

TITAH Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai larangan menggunakan kalimah atau nama ‘Allah’ dalam kitab Bible di Selangor disambut baik.

Ini kerana, perkara berkenaan tidak patut berlaku dan seolah-olah bertentangan dengan surah at-Taubah, ayat 65 yang melarang daripada mempermain dan mempersendakan kalimah ‘Allah’.

Malah, pihak yang membenarkan nama ‘Allah’ digunakan oleh agama lain untuk diletakkan dalam kitab suci mereka dianggap sebagai mensyirikkan-Nya.



Hal sedemikan dikatakan tidak sepatutnya terjadi kerana Allah SWT bagi orang Islam adalah tempat untuk bergantung dan meminta keampunan.

“Dalam ayat tersebut menyatakan bahawa, katakanlah wahai Muhammad kepada orang-orang ini, patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta rasul-Nya, kamu memperolok-olok dan mengejek-ejeknya. Patutkah?

“Jadi, para ulamak, mufti, sultan-sultan sudahpun buat satu keputusan bahawa, Allah adalah tuhan kepada orang Islam. Nama suci kepada orang Islam.

“Apabila perkataan Allah itu diminta izin kepada orang Islam supaya mengganti God dalam bible atau al-kitab maka pihak yang membenarkan itu sebenarnya telah mensyirikkan Allah.



“Kerana Allah kita, adalah Allahu ahad (Allah yang tunggal, esa). Allah kita adalah Allah tempat memohon keampunan, tempat meminta.

“Bukan macam tuhan mereka di mana para pemimpin agamanya boleh memberikan keampunan bagi pihak Allah, sedangkan Allah kita, hanya Allah tempat meminta.”

Demikian kenyataan Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), Datuk Zainal Abidin Sakom, dalam satu kenyataan hari ini menerusi video yang dihantar kepada Suara Merdeka.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin menerusi satu kenyataan semalam bertitah melarang penggunaan kalimah ‘Allah’ seperti mana yang diperuntukkan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Perkembangan DI Kalangan Orang Islam) 1998.



Baginda dalam kenyataan itu menegaskan akan mempertahankan kesucian kalimah ‘Allah’ ini kerana memelihara kesucian-Nya menjadi tuntutan agama dan tanggungjawab baginda.

Dalam pada itu, Zainal Abidin turut menzahirkan penghargaan dan menjunjung kasih di atas titah Sultan Sharafuddin yang disifatkan memberi kelegaan kepada masyarakat Islam.

“Jadi, dengan kenyataan akhbar panjang lebar penerangan yang Tuanku berikan itu sudah menyebabkan orang-orang Islam rasa selamat, Islam rasa terjaga, nama Allah kekal suci kerana bukan sahaja disucikan oleh rakyat biasa, oleh hamba rakyat biasa.

“Tetapi ia juga diyakinkan oleh Duli Yang Maha Mulia sebagai orang yang menjaga agama Islam di tanah air yang tercinta ini.



“Saya sangat berbangga menjadi rakyat negeri Selangor Darul Ehsan, Ampun Tuanku, sembah patik harap diampun,” ucapnya. – SM

Kalimah Allah: Mohon sultan lain keluar titah sama seperti Sultan Selangor



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker