BN, UMNO bukan platform untuk ‘Dipergunakan’ supaya dapat menjadi Perdana Menteri



Sebaran :

Perjuangan Barisan Nasional (BN) dan UMNO bersama parti lain yang dijalankan bukan sebagai platform bagi menaikkan seseorang itu menjadi Perdana Menteri.

Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil berkata, sebarang kerjasama yang dijalankan perlu disertakan dengan niat dan mempunyai persamaan dari segi nilai serta kebajikan.

Menurutnya, UMNO tidak akan menerima sebarang kerjasama yang bertujuan untuk menggunakan parti tersebut.



“Ini bukan setakat Anwar, ini juga dibuat oleh Mahathir dan Muhyiddin, yang ingin menunggang UMNO, untuk mereka jadi Perdana Menteri. Kita tidak akan terima. Perjuangan UMNO dan BN bukan untuk jadikan seseorang itu sebagai Perdana Menteri.

“Dalam soal kerjasama, kita kena tanya, apa tujuan mereka. Semua mula dengan niat. Kalau niat kita betul, kalau ada orang tekan pun, kita tidak kisah sebab niat kita berjuang betul.

“Kita kena ada persamaan nilai dan kebajikan (value and virtues). Kalau nak kerjasama tetapi tiada kesamaan, ini akan menyebabkan kesusahan. Sebab itu langkah Sheraton, saya tidak setuju. Saya dah cakap dengan pemimpin ada sebab saya tak setuju,” katanya selaku panelis Wacana Sinar siri ke-241 bertajuk Realiti Kerjasama PKR – UMNO yang disiarkan secara langsung di platform Sinar Harian pada Selasa.



Alasan Azmin tak munasabah

Turut menjadi panelis Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang dan Penganalisis Politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub manakala Ismail Adnan sebagai moderator.

Dari kiri; Ismail, Lih Kang, Isham dan Mohammad Tawfik semasa program Wacana Sinar Harian siri ke-241 bertajuk Realiti Kerjasama PKR – UMNO yang disiarkan secara langsung di platform Sinar Harian pada Selasa.
Mengulas lanjut, Isham berkata, kerjasama yang dijalankan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) ialah berdasarkan oportunistik semata-mata.

Tambahnya, sebarang kerjasama yang berbentuk mengambil kesempatan tidak akan mendatangkan kejayaan malahan menyebabkan pertelingkahan.



“Bersatu dan PN punya penyatuan ummah itu retorik. Kita nak yang betul. Bukan dasar oportunistik untuk hanya kekalkan jawatan. Itu tidak akan berterusan. Kalau benda itu kita tak setuju, ia tidak akan berterusan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, antara langkah untuk menyatukan orang Melayu ialah dengan bekerjasama dengan Pas yang merupakan parti kedua terbesar Melayu yang berada di negara.

“Saya antara orang yang sangat kuat menyokong kerjasama dengan Pas dulu. Jika UMNO dan Pas bekerjasama maka kita boleh buat satu langkah utama untuk menyatupadukan orang Melayu,” jelasnya.



Sementara itu, mengulas lanjut berkaitan hubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan UMNO, beliau masih belum mengetahui perbincangan kerjasama tersebut dijalankan bersama siapa.

“Kita hanya dengar dari bahagian Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi tiada dari bahagian kita. Jadi, saya tak tahu beliau bincang dengan siapa. Mesti dengan sesiapa yang saya tak tahu atau tiada,” ujarnya.

Pertemuan Zahid, Kuli dan Najib: Memperkukuhkan Parti & Memahami Denyut Nadi Akar Umbi


Sebaran :


Leave a Reply