Zahid nafi Umno bentuk pakatan dengan PKR untuk PRU15
Umno tidak akan bekerjasama dengan PKR dalam pilihan raya akan datang dan hanya bekerjasama dengan rakan partinya bawah Barisan Nasional (BN).
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu tidak mengadakan sebarang perbincangan dengan PKR mengenai kerjasama pilihan raya dan sebarang kemungkinan pembentukan pakatan hanya selepas PRU15.
Perkembangan itu menyusul selepas Presiden PKR, Anwar Ibrahim minggu lalu berkata wujud usaha menjalin kerjasama antara kedua parti itu.
“Ya, Anwar dan saya ada berselisih di Parlimen (dan) pada majlis perkahwinan, tetapi langsung tiada perbincangan, baik secara rasmi atau tidak rasmi.
“Tidak dengan saya, tidak juga dengan Mat Hassan (Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan),” katanya seperti dilaporkan The Star.
Dalam pada itu, beliau berkata parti itu tidak pernah mengarahkan mana-mana wakil parti untuk mengadakan perbincangan sedemikian.
Terdahulu, Umno beritahu parti itu tidak akan bekerjasama dengan PPBM pada pilihan raya akan datang dan kerjasama yang dijalin sekarang akan berakhir apabila Parlimen dibubarkan.
Mengenai sama ada Umno bersedia menjalin kerjasama dengan PKR, Zahid berkata selepas PRU15, apa saja boleh berlaku.
Beliau mengulangi bahawa tiada perbincangan dengan ketiga-tiga parti iaitu, PKR, DAP dan Pakatan Harapan buat masa ini.
Pada 16 Mac, Anwar mengesahkan wujud usaha menjalin kerjasama dengan Umno ketika negara menuju PRU15, dengan beberapa pertemuan diadakan bersama pemimpin parti itu yang menampakkan hasil “positif”.
Dalam siri temu bual dengan Utusan Malaysia, ketua pembangkang berkata pertemuan berkenaan berlangsung secara tidak rasmi dengan hasrat “untuk membentuk kerajaan baharu” bagi “menyelamatkan negara”.
Anwar berpuas hati dengan hasil perbincangan itu, namun menegaskan sebarang kerjasama dengan Umno bergantung kepada kesanggupan parti Melayu itu untuk menjalin kerjasama berteraskan “idealisme”.
Mengenai kerjasama Umno dengan PAS, Zahid berkata kedua-dua parti masih bekerjasama dalam semangat Muafakat Nasional (MN).
“Tetapi terserah kepada mereka. Sekiranya mereka merasa lebih selesa bekerja dengan parti lain, mereka boleh buat demikian,” katanya. FMT