Jangan lupa parti mana yang bersekongkol dengan PH sebelum ini
KUALA LUMPUR – Pemimpin UMNO diingatkan jangan mengadaikan maruah parti semata-mata untuk mendapat jawatan dengan mudah.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, pemimpin UMNPO jangan lupa parti mana yang bersekongkol dalam Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang telah menjahanamkan negara.
Jelas beliau, antara isu tersebut adalah Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) penjualan aset negara, pemansuhan biasiswa MyBrain, peningkatan hutang negara, ‘U-Turn ECRL’ sekejap batal, sekejap tidak dan pinjaman bon.
“Kita ada maruah. Jangan gadai maruah kita hanya sekadar untuk mendapatkan jawatan dengan mudah. Jangan lupa, Bersatu juga parti yang bertanggungjawab dalam mencorakan dasar kerajaan PH yang ternyata menjahanamkan negara.
“Isu seperti ICERD, penjualan aset negara, pemansuhan biasiswa MyBrain, peningkatan hutang negara, “U-Turn ECRL” sekejap batal, sekejap tidak, Pinjaman Bon Samurai dan banyak lagi masalah. Kalau ada yang lupa, PM pada masa ini adalah dari Bersatu dan Presiden Bersatu juga adalah Menteri kerajaan PH,” katanya di hantaran Facebook miliknya.
Najmil Faiz yang Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu turut memberitahu, ramai yang bertanya beliau tentang situasi di Terengganu yang tidak menunjukkan sebarang kerjasama antara UMNO dan Pas
Jelas beliau, Terengganu dikenali sebagai “swing state” yang mana pola pengundian sentiasa berubah dan tidak statik bagi mana-mana parti.
“UMNO menguasai kerajaan negeri pada tahun 1961 hingga 1999 dan selepas itu PAS memerintah hingga 2004. Kemudian UMNO kembali memerintah hingga 2018. Kini, Pas pula memerintah kerajaan negeri Terengganu.
“Demografi penduduk pula, 94.6 peratus adalah kaum Melayu di Terengganu. Di sini, kita perlu lihat situasi politik di Terengganu adalah berbeza dengan pantai barat di mana komposisi kaum mempengaruhi keputusan pengundian di sesebuah kawasan parlimen.
“Oleh itu, agenda memperkasa Bumiputera akan diteruskan walau apa jua parti memerintah.
“Di Terengganu, bagaimanakah UMNO ingin membentuk MN jika PN telah pun ditubuhkan secara rasmi dan disertai PAS? BERSATU telah berbincang dengan PAS untuk meletakkan calon melawan UMNO pada PRU-15,” katanya.
Jelas Najmil, demokrasi perlu subur di Terengganu kerana jika UMNO bekerjasama dengan Pas dan Bersatu, hak memilih rakyat akan dinafikan kerana tiadanya pembangkang di negeri ini.
Ujar beliau, sudah tentu ketiga-tiga parti Melayu ini akan menang jika tiada pertembungan kerana parti seperti DAP tidak laku di Terengganu.
“MN boleh diwujudkan di Terengganu selepas PRU-15. Biarkan rakyat diberi pilihan untuk menentukan sama ada mahu UMNO atau Pas memerintah negeri ini. Jika UMNO menang, kita boleh jemput Pas dalam portfolio kerajaan negeri. Begitu juga sebaliknya.
“Terpulang pada kepimpinan untuk menentukannya. Berdasarkan suara hati rakyat di bawah mereka mahu peluang dan ruang yang seluasnya untuk memilih wakil mereka pada PRU-15.
“Siapa kita untuk menafikan hak rakyat? Tiba masa rakyat akan menentukan,” katanya. MG
https://mykmu.net/2018/05/05/saya-tidak-mahu-bersekongkol-dengan-dap-lagi/
You must be logged in to post a comment.