Jumlah hutang negara cecah RM879.6 bilion, kata Zafrul


PETALING JAYA: Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz menjawab pengkritik yang mempersoalkan asas terhadap hutang negara oleh kerajaan, dengan berkata jumlah itu termasuk pinjaman pesisir luar dan pinjaman lain sebanyaj RM879.6 bilion atau 62.2% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Katanya, Kementerian Kewangan melaporkan jumlah hutang negara sebanyak RM820.7 bilion atau 58% daripada KDNK setakat hujung 2020 mewakili hutang statutori di bawah undang-undang sedia ada. Jumlah itu diunjurkan meningkat kepada 58.5% daripada KDNK pada 2021.

“Terdapat banyak persoalan mengenai hutang negara baru-baru ini, termasuk bagaimana ia didefinisikan serta bagaimana ia telah bertambah dan sama ada terdapat keperluan untuk meningkatkan had hutang negara memandangkan kerajaan telah melancarkan pelbagai pakej rangsangan tahun lepas,” katanya dipetik Bernama dalam kenyataan hari ini.

Antara mereka yang mempersoalkan jumlah hutang negara ialah bekas perdana menteri, Najib Razak, yang memetik laporan FMT hari ini mengenai seorang ahli ekonomi menggesa penjelasan angka itu dan unjuran jumlah hutang RM975 bilion untuk 2021.



Zafrul berkata, kerajaan sentiasa konsisten dalam menjelaskan hutang negara, sama ada di Parlimen atau kepada media, dan ketelusan itu turut dicerminkan dalam Laporan Tinjauan Fiskal tahunan.

“Hutang kerajaan persekutuan merangkumi segala jenis hutang sama ada dalam atau luar negara.”

Hutang negara yang sentiasa dinyatakan terdiri daripada sekuriti kerajaan Malaysia (MGS), terbitan pelaburan kerajaan Malaysia (MGII) dan bil perbendaharaan Islam Malaysia (MITB).

Ketika Kementerian Kewangan melaporkan hutang negara untuk akhir 2020 yang berjumlah RM820.7 bilion atau 58% daripada KDNK, angka itu berdasarkan takrif yang diperuntukkan di bawah Akta Covid-19.



Jika mengambil kira pinjaman pesisir luar dan pinjaman lain, jumlah hutang kerajaan persekutuan berjumlah RM879.6 bilion atau 62.2% daripada KDNK.

Katanya, kerajaan masih mematuhi had setiap jenis hutang di bawah lunas undang-undang bagi memastikan disiplin dalam pengurusan fiskal negara.

Beliau berkata, semua langkah itu sudah dijelaskan dan diterima agensi penilaian antarabangsa dan penganalisis.

“Sebelum Covid-19, had KDNK kendiri sebanyak 55% diguna pakai bagi hutang domestik dan luar negara. Tetapi, apabila negara dilanda Covid-19, dasar fiskal yang lebih fleksibel diperlukan untuk menyelamatkan nyawa dan kelangsungan hidup.”



Katanya, had bagi MGS, MGII dan MITB dinaikkan kepada 60% dan diluluskan di Parlimen melalui Rang Undang-undang Langkah-langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan.

Beliau berkata, siling hutang lebih tinggi membenarkan kerajaan sentiasa bersedia, terutamanya dalam memberi bantuan tambahan kepada rakyat yang masih terjejas. FMT

Mana mungkin kadar hutang negara sudah turun – Najib



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker