Rentas negeri bulan madu: Instafamous serah bukti perjalanan urusan perniagaan
KUALA LUMPUR: Polis mengambil keterangan pasangan instafamous yang didakwa merentas negeri untuk berbulan madu di sebuah pusat peranginan di Johor Bahru, semalam.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Ashari Abu Samah berkata, berdasarkan keterangan serta bukti dikemukakan, tiada tindakan diambil terhadap pasangan berusia lingkungan 20-an itu yang mendapat kelulusan rentas negeri untuk urusan perniagaan.
Keterangan pasangan itu diambil susulan tindakan memuat naik gambar mereka di media sosial Jumaat lepas sehingga menimbulkan persoalan kebenaran rentas negeri yang diberikan polis, katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan semakan lelaki terbabit yang juga ahli perniagaan dan isterinya membuat permohonan rentas negeri ke Johor Bahru pada 15 Mac di Balai Polis Wangsa Maju atas urusan perniagaan dan diluluskan perjalanan bermula 17 Mac hingga Sabtu lepas.
“Berdasarkan keterangan, pasangan ini mengesahkan mereka menginap di sebuah resort di Johor sepanjang urusan perniagaan di sana dan mengemukakan bukti segala urusan perniagaan serta resit tempat penginapan.
“Pasangan ini juga mengesahkan ada memuat naik gambar mereka di akaun Instagram milik isterinya yang bersifat peribadi tetapi ditularkan di Twitter dan menafikan berada di Pulau Perhentian, Terengganu seperti yang ditularkan,” katanya.
Ashari mengingatkan orang ramai yang mendapat kelulusan rentas negeri agar sentiasa berhati-hati dan bertanggungjawab serta tidak menyalahgunakan kebenaran rentas negeri diberi polis.
“Sekiranya terdapat individu yang menyalahgunakan kebenaran ini, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka yang berkenaan,” katanya.
You must be logged in to post a comment.