Malaysia perlu tanggung akibatnya – Kim Yu-Song


KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tindakannya yang mengekstradisi warganegara Korea Utara kepada Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Kaunselor Kedutaan Korea Utara di Malaysia, Kim Yu-Song berkata, Malaysia perlu menanggung akibat daripada tindakan itu apabila mengenakan pendakwaan terhadap rakyatnya.

“Pihak berkuasa Malaysia perlu bertanggungjawab sepenuhnya dan akan menanggung semua akibat terjejasnya hubungan dua negara ini,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Kedutaan Korea Utara di Jalan Batai, Bukit Damansara hari ini.

Terdahulu, sebuah bas persiaran kelihatan memasuki pekarangan Kedutaan Korea Utara di Jalan Batai, Bukit Damansara di sini, pagi ini.



Bas berwarna putih hijau itu yang dipercayai akan dinaiki kakitangan dan ahli keluarga pejabat diplomatik itu kira-kira jam 9.11 pagi ini.

Bagaimanapun tepat pukul 11 pagi tadi, bas persiaran terbabit kelihatan keluar dan beredar dari pekarangan pejabat diplomatik itu sebelum menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Terdahulu, petugas media tempatan dan antarabangsa mula berkumpul di perkarangan pejabat diplomatik seawal pukul 7 pagi tadi selain sebuah kereta peronda polis juga dilihat memantau perkarangan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

Pada Jumaat lalu, kerajaan mengarahkan semua kakitangan diplomatik Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur dan ahli keluarga meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam.



Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan itu diambil selepas Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia, ekoran seorang rakyatnya yang menetap di negara ini, Mun Chol Myong diekstradisi ke ASt untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram.

Chol Myung ditahan pihak berkuasa Malaysia pada 14 Mei 2019 susulan waran tangkap mengikut Seksyen 13 (1) (b) Akta Ekstradisi 1992 susulan dakwaan konspirasi penggubahan wang haram serta melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Suspek dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 13 Disember 2019. Permohonan writ habeas corpus di Mahkamah Tinggi pada 29 Disember tahun sama dan rayuannya di Mahkamah Persekutuan pada 8 Oktober tahun lalu ditolak selepas mahkamah mendapati permohonan dan rayuannya tidak berasas di bawah Akta Ekstradisi.

Korea Utara pada Jumaat lalu mengumumkan bahawa negara itu memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.



Menurut Kementerian Luar Pyongyang, ia adalah tindak balas terhadap tindakan Malaysia mengekstradisi seorang rakyat Korea Utara ke AS awal bulan ini.

Kementerian itu juga menyifatkan tindakan berkenaan sebagai ‘jenayah tidak boleh dimaafkan’ yang didakwa dilakukan kerana tekanan AS. MG

Korea Utara putuskan hubungan dengan Malaysia



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker