Jika muktamad tolak PPBM, Jangan 'Khianat' Kekal dasar ‘No Anwar, No DAP’ - Pemuda UMNO — MYKMU.NET

Jika muktamad tolak PPBM, Jangan ‘Khianat’ Kekal dasar ‘No Anwar, No DAP’ – Pemuda UMNO



Sebaran :

 

SHAH ALAM: Umno perlu mengekalkan dasar ‘No Anwar, No DAP’ dalam perhimpunan agungnya (PAU) bulan ini jika parti itu mahu memuktamadkan pendirian menolak kerjasama politik dengan PPBM pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ketua Pemuda Umno Pagoh, Ir Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

Ketua Pemuda Umno Pagoh, Ir Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, akar umbi dan ahli tidak bermasalah untuk mematuhi pendirian menolak kerjasama dengan PPBM dan Perikatan Nasional (PN) sekiranya ketetapan itu diluluskan dalam PAU yang bakal berlangsung pada 27 dan 28 Mac ini, lapor Sinar Harian.

Beliau bagaimanapun menggesa kepimpinan Umno, terutama presidennya, Ahmad Zahid Hamidi supaya menjelaskan hala tuju sebenar parti bagi menghadapi PRU15 sama ada mahu bersendirian atau membentuk kerjasama politik baharu.



“Pada PAU akan datang, kita harapkan kepimpinan Umno menerangkan hala tuju parti yang lebih jelas bagi menghadapi PRU15.

“Apakah strategi politik yang akan diguna pakai kerana kita tidak mahu perkara itu terus samar.

“Satu pendirian jelas perlu diputuskan dalam PAU. Jika usul menamatkan kerjasama dengan PPBM mahu dimuktamadkan, parti kena menekankan sekali pengekalan dasar ‘No Anwar, No DAP’,” katanya menurut laporan itu lagi.



Beliau berkata demikian bagi mengulas pendedahan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang mendakwa telah mengadakan perbincangan awal dengan wakil pemimpin Umno bagi menjalin kerjasama politik minggu lalu.

Pada 4 Mac lalu, Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan mengesahkan sepucuk surat diutus kepada Perdana Menteri yang juga Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin bagi memaklumkan keputusan sebulat suara Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti menolak kerjasama dengan PPBM pada PRU15.

 

Presiden UMNO Beri Jaminan, Pemilihan UMNO Akan Diadakan Tahun Ini

Ahmad berkata, MKT Umno juga berpendapat kebersamaan dalam kerajaan PN boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.



Pada 27 dan 28 Mac ini, Umno mengumumkan akan mengadakan PAU 2020 secara bersemuka dan siaran maya setelah ditangguhkan susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

Di sebalik desakan dasar ‘No Anwar, No DAP’ terus dikekalkan, Mohamad Fazli tidak menolak kemungkinan berlakunya kerjasama politik tidak rasmi antara Umno dengan PPBM mahu pun blok pembangkang di beberapa kawasan tertentu pada PRU15.

Katanya, kerjasama politik itu lebih ke arah perbincangan persendirian antara calon parti bertanding dan tidak mewakili pendirian Umno.



Abdul Aziz Derashid

Pandangan sama turut dikongsi pemangku ketua Umno Jeli, Abdul Aziz Derashid yang berkata, Zahid perlu menjelaskan teka-teki kerjasama Umno dengan mana-mana parti, termasuk spekulasi kerjasama Umno-Pakatan Harapan (PH) dalam ucapan dasar beliau kelak.

Jelas beliau, ia sekali gus akan merungkai pelbagai spekulasi yang tersebar di media sosial mengenai isu berkenaan.

“Jadi kita hendak minta presiden (Zahid) berterus terang dan memberikan gambaran sejelas-jelasnya tentang keadaan yang berlaku.



“Penjelasan itu akan menepis segala dakwaan tidak benar bahawa wujudnya hubungan yang melanggar dasar parti, ‘No DAP, No Anwar’,” katanya.


Sebaran :


Leave a Reply