Saya ahli 124 UMNO, ‘Saya tidak bimbang dipecat, hanya mahu UMNO selamat’ – Annuar Musa

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menegaskan beliau tidak bimbang jika dipecat daripada UMNO kerana kelantangannya menegur parti itu.

Jelas Ahli Parlimen Ketereh itu, segala teguran yang dibuatnya adalah demi kebaikan parti dan demi menyelamatkan UMNO supaya sentiasa diterima rakyat.

Katanya, beliau reda jika keterbukaannya itu menyebabkannya dipecat.



“Saya tidak ada bimbang apa-apa, saya hanya mahu UMNO selamat, dihormati dan disukai oleh rakyat.

“Saya adalah ahli nombor 124 daripada 3.5 juta ahli. Saya juga salah seorang yang menaja, menghidupkan semula UMNO baharu selepas parti itu diharamkan selain saya ahli Majlis Tertinggi (MT) hampir 30 tahun,” jelasnya.

Annuar berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Veteran ATM cawangan Ketereh kali ke-37 di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), di Kota Bharu pada Sabtu.

Kata Annuar, pelbagai sindiran diterimanya kononnya beliau tidak setia kepada parti.

“Macam-macam orang menyindir nak pecat saya kononnya saya tidak setia dan mahu lompat pergi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Saya nak tanya adakah mereka mampu membuktikan kesetiaan kepada parti melebihi kesetiaan saya,” katanya lagi.



Mengulas lanjut, Menteri Wilayah Persekutuan itu turut menegaskan tegurannya adalah untuk memastikan parti itu tidak dijadikan alat kepentingan kumpulan dan individu tertentu, sebaliknya keutamaan UMNO adalah memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Beranilah terima kelemahan kita (UMNO), jika dulu… orang kritik kita, kita akan pecat… selain mengamalkan budaya membodek pemimpin yang akhirnya menjadikan kita jatuh tersungkur.

“Maka, ambillah semua itu sebagai iktibar kerana di luar sana terdapat tujuh juta pengundi muda yang sedang menunggu saat terdaftar sebagai pengundi berusia 18 tahun,” tegas Annuar lagi.

Tambahnya, rakyat mahu melihat sebuah parti yang murni perjuangannya, mempunyai masa depan serta bersih dengan dipimpin oleh pemimpin berintergriti.



Namun jika UMNO mengulangi kesilapan lampau pada PRU14 serta tidak selari dengan hasrat rakyat, beliau percaya parti itu akan ditolak rakyat.

“Kalau sekali lagi UMNO jatuh, mungkin UMNO tidak akan bangun lagi,” katanya lagi.

Saya takkan putus asa walaupun dipecat Umno – Annuar



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker