Hujah Rais Yatim tolak Undi 18 jika jawapan SPM tentu akan gagal
Hujah Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim untuk menolak Undi 18 “kebudak-budakan,” tempelak Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil.
Malah Isham berkias membayangkan kedangkalan alasan yang dilontarkan ahli majlis tertinggi Bersatu itu.
“Jika jawapan seperti ini diberi dalam kertas soalan SPM, tentunya Tan Sri Rais akan gagal,” katanya pada hantaran di media sosial hari ini.
Isham mengulas laporan portal dalam talian MalaysiaGazette yang memetik Rais berkata Undi 18 bukan setakat “menyusahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi mengelirukan ibu bapa.”
“Seorang yang berumur 18 tahun bermakna habis tingkatan lima sahaja dah boleh mengundi.
“Cuba bayangkan di dunia Malaysia, di dunia barat jangan bawa,” kata Rais menjelaskan tidak perlu mengikut langkah negara-negara lain.
“Soalnya adakah ini budaya kita? Ibu bapa dah bersediakah?
“Anak baru keluar tingatan lima terus hendak nak jadi ahli politik. Ini tidak mungkin,” kata Rais.
Menyanggah hujah veteran Bersatu itu, Isham menegaskan Undi-18 itu berkenaan kelayakan orang muda berumur 18 tahun untuk mengundi atau untuk mereka menjadi pengundi, ia bukan usul untuk mereka berpolitik atau menjadi ahli politik.
“Di Malaysia sekarang ada lebih kurang 15 juta pengundi, hampir semua (atau 99 peratus) daripada mereka bukanlah ahli politik atau sibuk berpolitik walaupun mereka mengikuti perkembangan politik.
“Jadi pengundi tidak bermaksud jadi ahli politik,” katanya.
Isham juga berkata Undi 18 perlu dibenar, malahan digalakkan.
“Kerana mereka adalah pemegang taruh terbesar ke atas dasar-dasar kerajaan yang memberi kesan kepada mereka dalam tempoh sekurang-kurangnya lima tahun akan datang sehingga mereka berumur 23 tahun,” katanya.
Macam mana nak percaya Rais perjuang Melayu?
Jelasnya, jika anak muda tidak dibenarkan mengundi, ia adalah “suatu penganiayaan atau ketidakadilan besar kepada mereka.”
“Lebih dua pertiga atau 5 juta daripada (8 juta pengundi muda baru berumur 18 tahun) adalah pengundi muda Melayu.
“Bagaimanakah kita hendak percaya yang Rais Yatim dan partinya Bersatu ini kononnya ingin memperjuangkan hak orang-orang Melayu jika mereka tidak benarkan berjuta-juta anak muda Melayu untuk mengundi,” soal Isham.
Untuk rekod Undi 18 membolehkan warganegara berusia 18 tahun dan ke atas layak mengundi. Melalui inisiatif digerakkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu pendaftaran juga berlaku secara automatik.
Seramai 211 ahli parlimen daripada 222 anggota Dewan Rakyat mengundi menyokong usul meluluskan rang undang-undang itu pada 16 Julai 2019, sebelum diluluskan pula – dengan majoriti dua per tiga – oleh Dewan Negara 10 hari kemudian.
Apabila Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan berkata, pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dapat dilaksanakan selewat-lewatnya Julai tahun ini.
Rais hari ini berkata dia tidak mengelirukan apa-apa mengenai undang-undang berkaitan Undi 18.
“Tetapi saya juga berdiri teguh di belakang sentimen ibu bapa yang banyak mengeluh, mengatakan adakah ini satu tindakan yang logik dalam konteks perjuangan kita di Malaysia,” katanya
Rais menyebut mengenai Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan mengenai perjalanan kuasa mengubal undang-undang.
Menurutnya, satu huraian baru mengenai RUU Undi 18 “harus diperlihatkan.”
“Yang di-Pertuan Agong setakat ini setahu kami belum lagi menandatangani undang-undang ini, apakah ertinya ini,” soalnya.
Bagaimanapun, Perkara 66 (4A) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan jika satu-satu RUU tidak diperkenan Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh 30 hari, maka ia boleh dikuatkuasakan.
Kata Rais lagi, antara usia 21 tahun dan 18 tahun, ada tempoh hanya tiga tahun sahaja.
“Apa salahnya kita tunggu sekejap sehingga mereka matang dan dapat berfikir dan ibu bapanya pun ada lunas ke mana menjurus hendak pergi,” jelasnya. Mk
Rasional Pengeluaran KWSP: Pendedahan Hujah dan Jawapan Saya Kepada Menteri Kewangan
You must be logged in to post a comment.