Pemimpin Umno cuba batal keputusan putus hubungan dengan PPBM?
Seorang pemimpin Umno cuba mengubah keputusan parti itu untuk tidak bekerjasama dengan PPBM pada pilihan raya akan datang, FMT difahamkan.
Menurut sumber, beberapa pemimpin bahagian sudah didekati sementara yang lain tahu akan langkah itu.
Ada yang diminta menandatangani dokumen yang meminta kepemimpinan parti mempertimbangkan semula keputusan tersebut.
Ahli Parlimen itu, yang identitinya masih dirahsiakan FMT sementara menanti komen beliau, dikatakan meminta banyak pemimpin bahagian untuk mendesak Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk berunding semula hubungan dengan PPBM.
“Hujah beliau ialah Umno akan kalah jika tidak berganding bahu dengan PPBM,” kata sumber itu.
Pemimpin parti itu dipercayai akan membangkitkan perkara itu pada perhimpunan agung Umno yang akan diadakan akhir bulan ini.
“Tetapi, usaha beliau ini tidak mendapat sambutan daripada ketua bahagian. Mereka melihat usaha pemimpin itu hanya memenuhi agenda musuh memecah belahkan Umno dari dalam.”
Awal bulan ini, Zahid dilaporkan mengirim sepucuk surat kepada Perdana Menteri dan Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin yang memaklumkan bahawa Umno tidak akan bekerjasama dengan PPBM pada PRU15.
Umno juga berkata parti itu hanya akan bekerjasama dengan kerajaan sehingga Parlimen dibubarkan.
Semasa pemilihan bahagian parti tahun lalu, 147 daripada 191 bahagian Umno meminta parti itu menarik balik kerjasama dengan PPBM. FMT
Inilah seorang pemimpin Umno yang cerdik dan matang dalam berpolitik kerana semua (kecuali pemimpin2 Kluster Mahkamah dan pengikut2 mereka yang tolol) tahu Umno dengan barisan pemimpin yang ada sekarang akan ditilak mentah2 olah pengundi Melayu terutama bila mereka yang berumor 18 tahun ke atas dibenarkan mengundi pada PRU15 nanti. Mahukah Umno mengalami nasib buruk sekali lagi seperti PRU14 dulu?