Kerjasama politik: Ada perbincangan antara pimpinan PKR-UMNO, masih terlalu awal – Anwar
Ketua Pembangkang yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menafikan kemungkinan kerjasama antara parti pimpinannya dengan UMNO, namun setakat ini ia masih dalam peringkat perbincangan awal.
“Agak terlalu awal untuk kita mengatakan ada suatu perjanjian atau persefahaman. Saya kata ada perbincangan awal antara beberapa pimpinan Keadilan dan pimpinan UMNO.
“Saya tidak nafikan kemungkinan kerjasama (politik). Ini yang saya jelaskan pada Ahli Parlimen dan kepada pimpinan negeri supaya disampaikan kepada akar umbi kita,” jelas Anwar.
Anwar menjelaskan tentang pelbagai spekulasi dan perkembangan dalam media sejak akhir-akhir ini yang rata-ratanya menjurus kepada kesimpulan bahawa sudah ada satu persefahaman atau perjanjian antara dua parti tersebut.
“Saya (cuma) sebut istilah ‘perbincangan’, ia belum formal. Saya jumpa semua, apa hak saya untuk nafikan. Dengan Tun Mahathir pun saya bincang dulu, kenapa tidak boleh dengan orang lain?” jelasnya dalam satu sidang media di sini pada Selasa.
Bagaimanapun jelasnya, perbincangan itu adalah permulaan yang sangat ‘positif’ antara dua parti yang membincangkan beberapa perkara penting antara dua pihak.
[SIDANG MEDIA] Ketua Pembangkang – Datuk Seri Anwar Ibrahim
“Ada isu berbangkit (yang dibincang), seperti prinsip dalam Perlembagaan, Dasar Ekonomi Baharu, tadbir urus yang baik dan kebebasan sistem penghakiman. Ini pandangan-pandangan yang penting. Bagi saya, satu permulaan sangat positif,” jelas beliau.
You must be logged in to post a comment.