Annuar Musa yakin gandingan UMNO, Bersatu dan Pas boleh menang 149 kerusi parlimen

Gandingan UMNO, Parti Pribumi Bersati Malaysia (Bersatu) dan Pas mampu memenangi 149 kerusi parlimen di kawasan majoriti Melayu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Keyakinan itu disuarakan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, sekiranya ketiga-tiga parti orang Melayu itu kekal bergabung menghadapi PRU15.

“Kita ada 222 kerusi Parlimen, termasuk 31 di Sarawak. Kawasan berpotensi ditandingi BN dan rakan lain ada 191 kerusi, namun kawasan majoriti Melayu mempunyai 149 kerusi.

“Di 149 kerusi ini, kalau ada permuafakatan serta tidak berpecah, kita berpotensi untuk memenangi semuanya.

“Jadi, formula kemenangan sudah ada dalam kerajaan hari ini,” katanya dalam wawancara bertajuk ‘UMNO: Perikatan Nasional (PN) atau Muafakat Nasional (MN)’ di sebuah portal pada Isnin.

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu yakin isu pembahagian kerusi di 149 parlimen itu boleh diatasi dengan siri rundingan yang baik.

Annuar menegaskan, secara asasnya kesemua 55 kerusi yang dimenangi UMNO pada PRU14 perlu kembali ditandingi parti berkenaan namun ia masih terbuka untuk sebarang rundingan.

“Ada lagi 11 kerusi yang UMNO mendapat undi lebih tinggi daripada PAS. PAS pula mempunyai enam kerusi yang memperoleh lebih banyak undi daripada UMNO.

“Justeru, PAS boleh memenangi 25 kerusi dan UMNO boleh memenangi 66 kerusi. Masih belum habis, ada kerusi lain yang boleh dipertimbangkan kepada BERSATU. Yang pasti muafakat membawa kejayaan, itu masih boleh diusahakan,” katanya lagi.

Annura juga berpandangan bahawa UMNO perlu diberi keutamaan untuk bertanding di kerusi Parlimen yang sebelum ini dimenangi parti itu namun calonnya menyertai Bersatu.

“Sebagai contoh Parlimen Langkawi, Kubang Pasu, Jerlun, Muar, Seri Gading atau Simpang Renggam. Ini kerusi yang dimenangi BERSATU tetapi ahlinya (ketika itu) kini sudah pergi ke ‘tempat lain’.

“Secara dasarnya, 55 kerusi dimenangi UMNO perlu dipertahankan oleh UMNO, namun bukanlah tegar. Itu biarlah Presiden berunding dengan Presiden,” katanya.

Berhubung perebutan jawatan Perdana Menteri pula, Annuar yakin ia juga boleh diselesaikan menerusi rundingan.

“Kuota (menteri) pun boleh diwujudkan, tiada masalah. Itu tugas Presiden ketiga-tiga parti.

“Lebih baik bertanding sikit dalam gabungan dan menang banyak, daripada berebut dan bertanding banyak tetapi akhirnya menang sikit,” katanya.

https://mykmu.net/2018/05/04/drama-yang-tak-boleh-belah/

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker