Jemaah haji 2020 diutamakan

PUTRAJAYA: Kerajaan akan membuat pengumuman ber­hu­bung status pelaksanaan ibadah haji tahun ini selepas menerima makluman rasmi dari Arab Saudi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, setakat ini kerajaan Arab Saudi belum mengeluarkan kenya­taan mengenai kebenaran pelaksanaan haji dalam tempoh pandemik Covid-19.

Beliau menjelaskan, ini termasuk jumlah sebenar jemaah yang dibenarkan ke tanah suci dengan persetujuan 10,000 kuota tambahan kepada Malaysia sebagaimana yang dicapai hasil pertemuan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud di Istana Al-Yamamah, Arab Saudi.

Zulkifli berkata, keutamaan jemaah yang akan dilaksanakan pada tahun ini ialah mereka yang tidak dapat menunaikan ibadah haji pada tahun lalu secara keseluruhannya.

Beliau berkata, jemaah yang sepatutnya menunaikan haji pada tahun ini pula hanya akan dapat melaksanakan ibadah itu pada tahun depan.

“Giliran bagi mereka yang tidak dapat pergi menunaikan haji tahun lalu, keseluruhannya akan dibawa ke tahun ini dan mereka yang sepatutnya pergi pada tahun ini pula akan dibawa ke tahun depan dan begitulah berikutnya,” katanya di sini baru-baru ini.

Perdana Menteri baru-baru ini mengumumkan Malaysia memperoleh tambahan 10,000 kuota haji, sekali gus menjadikan kuota rasmi haji Malaysia adalah sebanyak 41,600 orang, berdasarkan peratusan kuota haji yang ditetapkan oleh Arab Saudi untuk setiap negara iaitu pada kadar 0.1 peratus daripada jumlah penduduk negara berkenaan.

Muhyiddin turut memberi­tahu tambahan kuota haji Malaysia itu boleh digunakan apabila situasi Covid-19 terkawal.

Putera Mahkota Arab Saudi memberikan jawapan positif kepada Perdana Menteri dan jaminan terhadap permohonan kuota haji tersebut.

Bagaimanapun, timbul kebimbangan kelulusan kuota tambahan 10,000 jemaah Malaysia itu terjejas berikutan tindakan Raja Salman memecat beberapa pegawai tingginya termasuk Menteri haji dan Umrah, Dr. Mohammed Saleh Taher Benten.

Raja Salman melantik Issam Saad Saeed menggantikan beliau buat sementara waktu sebagai tambahan kepada tugasnya sebagai Menteri Negara dan ahli Kabinet.

Seramai 31,600 jemaah sepatutnya menunaikan ibadah haji pada tahun lalu, namun pada 11 Jun 2020, kerajaan membuat keputusan untuk menangguhkan penghantaran bakal haji ke tanah suci bagi menjaga kese­lamatan, kesihatan dan ke­sejahteraan rakyat. – UTUSAN

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker