Isu PPBM: Umno kata tiada rundingan, PAS nampak ‘cahaya hujung terowong’

Sebaran :


PAS yakin “hubungan dingin” antara Umno dan PPBM mampu diselesaikan secara baik tetapi ketiga-parti itu perlu duduk bersama dan mencari jalan penyelesaian.

“Cahaya di hujung terowong masih ada,” kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, menurut laporan Berita Harian.

Kenyataan pemimpin PAS itu menyusuli pendirian Pengarah Pilihan Raya Umno Tajuddin Abdul Rahman, bahawa Umno memutuskan mengambil semula semua kawasan pilihan raya “milik” parti berkenaan di seluruh negara.

“Pendirian Umno ialah mengambil semula semua ‘kawasan lompat’ itu. Jadi bila nak ambil balik, tiada perundingan,” katanya.

Perikatan Nasional (PN) sebelum ini dilaporkan mengajak Umno kembali ke meja rundingan, khususnya berkaitan 13 kerusi Parlimen yang dimenangi parti itu sebelum ini.

Ahli Parlimen Umno berkenaan kemudiannya menyertai PPBM yang menjadi tonggak PN.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin adalah presiden PPBM dan pengerusi PN.

Tuan Ibrahim berkata, PAS mengadakan mesyuarat dengan Umno minggu lalu bagi mengeratkan kerjasama Muafakat Nasional (MN).

“Memang setiap minggu kita mengadakan mesyuarat sebanyak dua kali. Mesyuarat berkenaan juga menyentuh soal pilihan raya umum (PRU), namun secara tidak langsung saja,” katanya.

Mengulas dakwaan pemimpin politik melompat parti kerana ada kes rasuah dan mengelak didakwa, Tuan Ibrahim berkata, perkara itu perlu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan.

“Mahkamah mempunyai bidang kuasa dan harus siasat sekiranya benar mereka terbabit. Jangan kata bila lompat parti, terus membuat dakwaan sebegitu,” katanya.

Ahli Parlimen Kuala Langat Dr Xavier Jayakumar, keluar PKR minggu lalu untuk menyokong kerajaan PN.

PKR mengaitkan tindakan Xavier itu dengan siasatan rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). FMT


Sebaran :

Leave a Reply