Edar 1000 nota ‘Tolong Bantu Saya’, Chef Dave pegang ayat al-Quran

 

SEGAMAT: Hilang pekerjaan dan mata pencarian akibat pandemik Covid-19 sejak setahun yang lalu, seorang chef berasal dari daerah ini membuat pendekatan yang berani apabila mengedarkan kad nota kepada jiran tetangga di kawasan kediamannya.

Kalidevan, 29, atau lebih dikenali sebagai Chef Dave mengedarkan 1000 keping kad nota yang tertulis, ‘Tolong Bantu Saya’ kepada 600 unit rumah jiran tetangga di kediamannya di Sentul dan perkongsiannya itu telah tular dalam media sosial Facebook.



Tidak sampai 10 hari perkongsian notanya itu, pengikutnya telah meningkat mencecah lebih 60,100 di Youtube dan 132,000 pengikut dalam laman sosial Facebook dengan perkongsian resepi kegemaran rakyat Malaysia yang diolah seperti nasi lemak, laksa, tom yum dan lain-lain untuk disesuaikan dengan resepi pengamal makanan vegan.

Chef Dave yang merupakan anak jati Jementah, Segamat telah lapan tahun bekerja dalam bidang perhotelan di sebuah hotel terkemuka negara dan di atas kapal pelayaran.

Malangnya, kontrak kerjanya ditamatkan pada bulan Februari tahun lalu dan syarikat tempat dia bekerja tidak menyambung semula kontrak kerja apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac tahun lalu.

“Walaupun saya bukan seorang Muslim tetapi sejak kecil lagi saya berpegang pada ayat ini, “Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah nasibnya. (Surah Ar-Ra’d:11).



“Masa mula-mula hilang kerja, memang rasa sangat tertekan sebab dah hilang sumber pendapatan. Selepas itu, saya fokus 100 peratus buat video masakan di Youtube dan berharap dari situ akan dapat sedikit sebanyak rezeki yang boleh menampung kehidupan saya,” kata Chef Dave ketika ditemui di Bandar Segamat, baru-baru ini.

KAD nota ‘Tolong Bantu Saya’ oleh Chef Dave yang tular dalam media sosial Facebook.

Di atas kad nota yang diedarkan itu memohon jasa baik jiran-jirannya dan keluarga mereka membantu menyokong saluran Youtube miliknya dengan menjadi pengikut dan menekan butang loceng di saluran itu supaya mereka menerima notifikasi apabila dia memuat naik video masakannya.

Menurutnya, dia merakamkan dan memuat naik video setiap hari selama 30 hari berturut-turut, membuat rakaman, suntingan dan buat translation (alih bahasa) semua dilakukan sendiri dengan menggunakan telefon bimbit sahaja.

Dia yang menjadi pengamal makanan dan masakan berkonsepkan Vegetarian (Vegan) atau pengamal pemakanan sayuran itu sejak tahun 2020 mengakui hanya mempunyai 1900 orang pengikut pada empat bulan yang pertama di saluran Youtube miliknya, Chef Dave VeganJourney.



Menurut Chef Dave lagi, kebanyakan pengikutnya dari luar negara yang berminat dengan resepi-resepi Vegan Malaysia tetapi rakyat Malaysia kurang mengetahui mengenai saluran masakannya itu.

Chef Dave berkata, duit simpanannya semakin menyusut saban hari kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap sepanjang hampir setahun negara kita berperang dengan wabak Covid-19 ini.

“Saya nak buat pengiklanan di Facebook pun tak mampu dan tak pandai juga, sebab itu saya terfikir kalau buat nota dan agihkan pada jiran-jiran mungkin mereka boleh bantu saya,” kata anak ketiga daripada empat adik-beradik ini.

Sebelum PKP pertama kali dilaksanakan di Malaysia, Chef Dave bekerja sebagai Western Chef di Disney Cruise Line dan dia sepatutnya kembali menaiki kapal pelayaran itu ke Amerika Syarikat.



Chef Dave turut mengambil inisiatif mewujudkan Tabung Kasih bagi orang ramai menderma ke dalam tabung itu untuk membantu pelajar daripada golongan B40 yang berminat untuk menyertai kelas masakan yang diadakannya secara atas talian.

“Pelajar yang berminat hanya perlu menunjukkan bukti sebagai penerima Bantuan Sara Hidup untuk layak menyertai kelas atas talian itu secara percuma. Niat saya hanya ingin membantu semampu yang mungkin kepada yang berminat tetapi tidak mampu untuk membayar yuran kelas masakan,” tambah chef yang sinonim dengan Malaysian Vegan Cuisine dan Whole Food Plant Based Malaysian Cuisine ini.

Malaysia vegan cuisine ialah masakan tradisional Malaysia yang tidak mengandungi bahan-bahan yang berasaskan haiwan.

Whole Food Plant Based Malaysian Cuisine pula masakan Malaysia yang dijadikan versi sihat dengan kurang kandungan SOS atau SOS Free. SOS bermaksud Salt, Oil dan Sugar. Dalam erti kata lain makanan Vegan versi sihat.



Chef Dave mengakui bukan mudah untuk menerima hakikat hilang punca pendapatan dengan keadaan ekonomi kini tetapi ianya bukan alasan untuk tidak berbuat apa-apa.

“Kalau kita cuba sedaya upaya dengan izin Tuhan kejayaan pasti akan berpihak pada kita. Senang cerita, jangan malas!” kongsi Chef Dave lagi.

Kini, hasil usahanya yang tidak pernah jemu selama setahun telah membuahkan hasil dan dia mampu tersenyum dengan kejayaan meraih pendapatan yang stabil demi kelansungan hidup dalam zaman menentang wabak Covid-19 ini.

Chef Dave adalah salah seorang wakil Chef Vegan Malaysia di Masters of Malaysian Cuisine, satu gabungan chef-chef selebriti Malaysia yang berada di beberapa tempat di seluruh dunia dengan hasrat ingin berkongsi makanan Malaysia kepada seluruh dunia melalui platform media sosial.



 

DJ Dave beli Alfa Romeo cengkeram RM50

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker