Penyelesaian 10 perkara cara terbaik selesai isu kalimah ‘Allah’, kata Najib


Penyelesaian 10 perkara dicadangkan kerajaan pada 2011 adalah kaedah terbaik bagi menyelesaikan penggunaan kalimah “Allah” oleh bukan Muslim, kata Najib Razak yang menjadi perdana menteri ketika itu.

Beliau berkata, penyelesaian itu akan menamatkan semua masalah yang sekali lagi timbul susulan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa penganut Kristian dibenarkan menggunakan kalimah itu dalam pendidikan agama mereka.

Walaupun ramai menganggap keputusan itu menunjukkan hak kebebasan beragama di Malaysia, ada yang menggesa demonstrasi jalanan terhadap keputusan mahkamah. Polis turut memberi amaran mengambil tindakan tegas jika ada perhimpunan seperti itu.

Penyelesaian 10 perkara itu adalah keputusan dasar Kabinet untuk menyelesaikan isu berkaitan dengan pengimportan, percetakan, pengagihan dan penggunaan Injil di Sabah, Sarawak serta Semenanjung.

Keputusan itu, antara lain, menetapkan tiada sekatan terhadap orang Kristian dari Sabah dan Sarawak untuk membawa bersama mereka Injil yang mengandungi kalimah “Allah”, dengan syarat ada perkataan “Penerbitan Kristian.”

“Penyelesaian 10 perkara pada 2011 adalah kaedah terbaik menyelesaikan kontroversi yang bertahun lamanya terutamanya di Sabah dan Sarawak dengan menghormati Perlembagaan Malaysia dan Perjanjian Malaysia,” kata Najib di Facebook.

Katanya, walaupun resolusi itu tertakluk kepada undang-undang persekutuan dan negeri, enakmen Islam tidak terpakai di Sabah dan Sarawak.

Baru-baru ini, selepas 13 tahun dan 12 penangguhan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan semakan kehakiman oleh Jill Ireland, seorang penganut agama Kristian dari Sarawak, untuk menggunakan kalimah “Allah” dalam pendidikan agamanya.

Hakim Noor Bee Ariffin berkata, arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 5 Dis 1986 yang melarang penggunaan kalimah “Allah”, “Baituallah”, “Solat” dan “Kaabah” oleh orang bukan Islam adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Noor Bee berkata, arahan KDN itu melampaui tujuan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. FMT

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker