Gelaran janda menakutkan, wanita Malaysia sanggup didera

Sebaran :


KUALA LUMPUR – Ramai wanita takut untuk melangkah keluar daripada perkahwinan toksik susulan bimbang dengan stigma masyarakat di sekeliling.

Ahli Psikologi dari Universiti UCSI, Penolong Profesor Dr. Zhooriyati Sehu Mohamad berkata, gelaran janda itu juga menakutkan bagi sesetengah wanita sehingga mereka terpaksa bertahan dalam perkahwinan yang mendera emosi mahupun fizikal mereka.

Ketua Jabatan Psikologi dari Fakulti Sains Sosial dan Seni Liberal Universiti UCSI, Dr. Zhooriyati berkata, kebimbangan itu berlaku dalam kalangan wanita Melayu kerana tidak mahu dipandang serong tapi ada juga wanita yang tidak tahu bagaimana untuk keluar daripada perkahwinan yang mendera mereka sama ada daripada segi emosi mahupun fizikal

”Kebergantungan isteri yang tidak bekerja dan hanya mengurus anak-anak di rumah juga mendorong wanita untuk memendam rasa yang akhirnya memakan diri hingga menjurus ke arah depresi.



”Mereka sudah terlalu bergantung terhadap suami dan lama kelamaan kurang berkeyakinan untuk menguruskan kehidupan sendiri jika berpisah dengan suami.

”Memendam perasaan ini tidak baik di mana ia akan membawa kepada pelbagai gangguan masalah kesihatan mental dan fizikal. Lebih banyak perkara yang ditanggung, lebih banyak tekanan kepada mental yang akhirnya boleh mengakibatkan depresi,” katanya.

Beliau turut menyarankan agar setiap individu belajar berkongsi perasaan dengan individu yang rapat bagi membina gaya hidup yang lebih sihat.

Dr. Zhooriyati menambah, daripada perspektif psikologi, kita harus meluahkan perasaan kepada orang yang rapat dengan kita dan boleh dipercayai, tak kiralah sama ada rasa puas hati atau sebaliknya.



Ini kerana, orang yang meluahkan perasaan ini didapati hidup lebih lama, mempunyai hubungan sosial yang positif, kurang masalah kesihatan dan hidup lebih gembira berbanding individu yang tidak meluahkan dan memendam perasaan.

”Individu yang tidak meluahkan perasaan akan mempunyai pemikiran pesimis yang boleh menyebabkan mereka kurang yakin, sering syak wasangka terhadap individu lain, sering marah malah akan menjejaskan prestasi kerja serta mempunyai lebih banyak hubungan yang berbentuk negatif,” ujarnya.

Beliau berkata, perkahwinan yang sihat adalah perkahwinan yang mempunyai persefahaman dan kepercayaan antara satu sama lain yang mana komunikasi menjadi medium utama memainkan peranan penting.

Menurutnya, untuk mencapai perkahwinan yang bahagia, pasangan haruslah meluangkan masa bersama dan berkongsi cerita.



”Jika ada masalah berbincang tanpa ada pihak ketiga seperti ibu bapa atau ahli keluarga yang lain supaya dapat meluahkan perasaan dan bincang langkah yang boleh diambil untuk atasi masalah itu.

”Seterusnya, beri masa kepada pasangan untuk berubah kemudian beri ruang kepada pasangan untuk atasi tekanan dan pada tahap ini pasangan perlu beri ruang serta sokongan moral.

“Jika tidak selesai juga bolehlah berjumpa kaunselor, tak perlu segan sebab ramai rakyat Malaysia terutamanya Melayu malu nak berjumpa kaunselor.

”Jika tak dapat diselesaikan juga barulah ambil langkah untuk keluar daripada perkahwinan yang toksik itu,” katanya. MG


Sebaran :

Leave a Reply