Cuka epal: Fakta dan kata pakar

Cuka epal adalah salah satu bahan kesihatan semulajadi paling popular dan ianya dikata memberi manfaat kepada kesihatan seperti merawat diabetes dan menguruskan berat badan sehinggalah bahan terbaik untuk membersihkan berus gigi.

Benarkah fakta ini? Apa sebenarnya manfaat cuka epal ini berdasarkan sains?

CNN bertanyakan perkara ini kepada tujuh pakar bersama beberapa kajian untuk menyokong fakta berkenaan.

1. Menurunkan paras gula

Asid asetik di dalam cuka epal dikatakan boleh membantu menurunkan paras gula dalam darah. (Gambar Rawpixel)

Seorang pakar pemakanan berdaftar, Carol Johnston mengkaji kesan asid asetik iaitu bahan utama dalam cuka terhadap paras gula seorang individu yang menghidapi kencing manis sejak 2004.

KATA PAKAR: Menurut Carol, tidak ada cuka termasuk cuka epal dibuktikan boleh mencegah kencing manis.

“Jika saya ingin membuktikan perkara itu, saya memerlukan beratus orang dan berjuta dolar untuk melakukan kajian kerana kencing manis mempunyai banyak punca termasuk genetik,” katanya.

Namun, ada kajian menunjukkan asid asetik boleh dijadikan sebagai bahan membantu menurunkan paras gula dalam darah.

Menurut Johnston lagi, satu ujian klinikal secara rambang pada 2019 mendapati terdapat penurunan 10 mata tahap gula darah orang yang berpuasa.

“Mereka mengambil dua ‘sudu’ cuka dicampur air yang diminum sebanyak dua kali,” katanya.

Dalam kajiannya, mereka yang mendapat manfaat daripada pengambilan cuka adalah rintangan terhadap insulin (insulin-resistant) yang dipanggil sebagai pra-diabetes.

2. Penurun berat badan

Gaulkan cuka epal bersama salad untuk diet yang seimbang. (Gambar Rawpixel)

Diet adalah salah satu kegunaan popular yang dikaitkan dengan cuka epal dan terdapat bukti yang boleh menyokong dakwaan itu.

Satu kajian yang membabitkan 175 orang Jepun yang mempunyai berat badan berlebihan tetapi sihat.

Rawatan selama 12 minggu telah menunjukkan berat badan mereka berjaya dikurangkan. Ia termasuk Indeks Jisim Badan (BMI), lemak visceral, ukuran pinggang dan paras triglycerid.

KATA PAKAR: Menurut pakar pemakanan, Lisa Drayer, “Sebenarnya berat badan tidak turun terlalu banyak. Hanya 0.9 ke 1.8 kilogram saja.

“Bagaimanapun, anda boleh menggunakan cuka epal dan cuka lain sebagai salah satu strategi yang boleh digabungkan dengan diet sihat, kawalan pemakanan dan senaman.

Dia juga mengesyorkan cuka balsamik diambil bersama salad dan minyak zaitun dengan campuran nisbah 4:1.

3. Gigitan nyamuk

Cuka epal dikatakan boleh merawat gigitan nyamuk. (Gambar Rawpixel)

Maklumat di internet juga mengaitkan cuka epal sebagai rawatan kulit dan jerawat, mencegah kutu dan kelemumur serta rawatan anti penuaan malah, satu cara semulajadi untuk membuang ketuat.

KATA PAKAR: Menurut doktor kulit, Dr Marie Jhin, cuka epal mengeringkan jerawat tetapi bukan untuk anti penuaan.

“Saya tidak mengesyorkannya kerana kita ada cara lebih berkesan dan selamat,” katanya.

Bagaimana pun, Dr Marie Jhin bersetuju jika cuka epal digunakan untuk merawat gigitan nyamuk.

“Saya suka menggunakannya untuk gigitan nyamuk. Ia adalah bahan di rumah yang jarang digunakan. Jika anda mempunyai banyak gigitan nyamuk, masukkan dua cawan ke dalam tab berisi air dan berendam. Ia boleh mengurangkan rasa gatal,” katanya.

4. Pencuci serba guna

Cuka epal mempunyai kandungan pH yang rendah dan sesuai melawan kotoran alkali. (Gambar Rawpixel)

Memandangkan ia mempunyai bahan antimikrob, cuka epal sering disyorkan sebagai pencuci semula jadi di rumah.

KATA PAKAR: Menurut Institut Kajian Racun Makhluk Perosak, selain garam, jus lemon, hidrogen peroksida, minyak pokok teh dan serbuk penaik, asid juga begitu berkesan dalam melawan kulat.

Cuka epal adalah terbiodegradasikan dan memandangkan ia mempunyai kandungan pH yang rendah, maka ia sesuai melawan kotoran alkali.

Kajian pada 1997 menunjukkan cuka epal yang tidak dilarutkan memberi kesan terhadap E.coli dan salmonella namun, kajian pada tahun 2000 pula menunjukkan tiada kesan terhadap E.coli atau S.aureus iaitu bakteria terhadap jangkitan kulit dan tisu lembut.

5. Penyakit jantung

Bersenam adalah cara terbaik untuk mengelakkan penyakit jantung. (Gambar Rawpixel)

Jika anda risau mengenai penyakit jantung, masukkan sekali cuka epal dalam senarai barangan untuk dibeli di pasaraya.

Satu kajian menunjukkan cuka boleh mengurangkan tekanan darah tinggi, triglycerides dan kolestrol keseluruhan terhadap tikus yang diberi diet tinggi lemak dan kolestrol.

Namun, kajian besar-besaran belum dilakukan terhadap manusia.

KATA PAKAR: Pengarah Pencegahan Kardiovaskular di Pusat Kesihatan Yahudi Kebangsaan, Denver, Dr Andrew Freeman berkata, mungkin terdapat beberapa manfaat disebabkan ia mempunyai bahan anti oksida seperti buah-buahan lain yang berkhasiat untuk kesihatan jantung seperti brokoli dan blueberry.

“Terdapat sesetengah petunjuk bahawa penggunaan cuka boleh meningkatkan kesihatan jantung dan menurunkan kolestrol dan lebih berkesan lagi jika digabungkan dengan sayur-sayuran hijau.

“Data itu bagaimana pun tidak kukuh tetapi ia boleh meningkatkan kesihatan jantung. Perkara terbaik untuk mengelakkan penyakit jantung ialah senaman dan pengambilan makanan kurang lemak dan berasaskan sayuran,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker