Penempatan haram warga Myanmar di Langkawi semakin membarah
LANGKAWI: Kebal sehinggakan sampai hari ini belum ada tindakan diambil terhadap penempatan haram warga Myanmar yang makin membarah di Bukit Malut, di sini.
Lebih 10,000 warganegara Myanmar yang mendiami Bukit Malut masih berterusan menceroboh tanah kerajaan negeri yang jelas mencemar imej pulau peranginan itu.
Pada masa sekarang dianggarkan kira-kira 2,500 buah rumah didirikan secara haram di penempatan yang semakin sinonim dengan gelaran ‘Little Myanmar’ itu, mengancam ekologi alam sekitar khususnya kawasan paya bakau di pesisir pantai pulau tersebut.
Mereka meneroka kawasan hutan paya bakau dengan membina rumah sesuka hati walaupun terdapat beberapa papan tanda amaran dipasang melarang sebarang aktiviti pencerobohan.
Kawasan Bukit Malut itu dikatakan mulai diteroka awal tahun 80-an, dan ia semakin pesat berkembang dan banyak kawasan diterokai yang melangkaui beberapa generasi.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati beberapa papan tanda peringatan ditulis ‘Tanah Milik Permodalan Kedah Berhad, Dilarang Menceroboh, Penceroboh Akan Didakwa’ dipasang di sekitar penempatan itu, namun semuanya tidak diendahkan.
Pemasangan papan amaran itu langsung tidak memberi kesan atau dipedulikan penduduk di situ yang dibanggakan.
Lebih menghairankan penduduk di penempatan itu `layak’ mendapat kemudahan bekalan air dan elektrik walaupun tinggal secara haram di tanah milik kerajaan.
Kepadatan rumah setinggan di kawasan terbabit yang didakwa terletak di bawah bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh diibarat seperti ‘bom jangka’ yang boleh mengancam nyawa mereka pada bila-bila masa sekiranya berlaku kebakaran.
Dikatakan kira-kira 70 peratus warganegara asing yang mendiami kawasan tersebut telah mendapat kerakyatan Malaysia dan memiliki MyKad manakala selebihnya masih berstatus pendatang asing tanpa izin (PATI).
Melihat kepada `kemeriahan’ di penempatan tersebut, penduduk Langkawi kini tertanya-tanya apa kelebihan dimiliki kumpulan pendatang asing berkenaan.
Pendedahan demi pendedahan mengenai pencerobohan tanah yang pernah dilaporkan sebelum ini tidak memberi kesan kepada mereka.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Langkawi, Ali Selamat mendakwa, pihaknya mengesyaki warga Myanmar di Bukit Malut dilindungi pihak tertentu yang mahu mendapat ‘kredit politik’ termasuk membantu sebahagian warganegara Myanmar terbabit memperoleh kerakyatan dengan mudah.
Menurutnya, warganegara asing tersebut yang telah memiliki MyKad akan melayakkan mereka mendaftar sebagai pengundi.
“Atas sebab itu mungkin penduduk di Bukit Malut ‘kebal’ daripada dikenakan tindakan undang-undang.
“Penduduk di kawasan itu pula akan menunjukkan sokongan kepada mana-mana parti yang menjadi kerajaan di peringkat negeri dan Pusat untuk mengelakkan mereka dikenakan tindakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau menambah, pihaknya bimbang isu penempatan haram di Bukit Malut akan menjadi lebih parah dan sukar ditangani kerajaan sekiranya tindakan undang-undang tidak diambil dari peringkat awal.
Pengerusi Gabungan Sahabat Langkawi, Mohd. Ridzuan Abd. Hamid berkata, rumah baharu sentiasa dibina warga Myanmar terbabit walaupun mereka mengetahui tindakan itu salah mengikut undang-undang negara ini.
Katanya, keadaan tersebut menyebabkan kawasan penempatan itu semakin tidak tersusun dan `mencacatkan’ pulau peranginan dibanggakan.
“Mereka didapati tidak pedulikan papan peringatan yang dipasang oleh ‘Permodalan Kedah Berhad’ mengenai tindakan yang akan diambil sekiranya tanah tersebut diceroboh,” ujarnya.
Sementara itu, Setiausaha Gabungan Sahabat Langkawi, Mohd. Zaidi Che Muhamad pula berkata, pembinaan rumah di kawasan itu tidak selamat sekiranya berlaku kebakaran kerana dibina secara tidak tersusun.
“Saya difahamkan terdapat tiang elektrik yang dipasang di kampung tersebut kini berada dalam rumah penduduk, cuma nampak wayar elektrik dari luar rumah.
Selain itu, beliau berkata, penduduk di kampung itu difahamkan akan ditawarkan rumah menerusi Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang dibina di pulau ini.
“Bagaimanapun saya mengharapkan rumah PPR itu diberi keutamaan kepada penduduk tempatan yang masih ramai yang tidak memiliki rumah berbanding warganegara Myanmar itu,” katanya. – UTUSAN
You must be logged in to post a comment.