Rohingya : Jangan sampai ‘pijak’ kepala · MYKMU.NET

Rohingya : Jangan sampai ‘pijak’ kepala

Share

KUALA LUMPUR : Lambakan pelarian Rohingya sama sekali tidak boleh dipandang mudah kerana setiap daripada mereka mampu memberi ancaman kepada rakyat di negara ini.

Sekadar membayangkan, jika ada antara pelarian ini pernah terbabit dengan aktiviti tidak sihat di negara asal tetapi dengan mudah diberikan kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tanpa melalui ‘tapisan’ pihak berkuasa di negara ini.

Paling dikhuatiri, mereka bebas bergerak di dalam negara di dalam pelbagai sektor pekerjaan sehingga membina penempatan dan komuniti sendiri.

Lebih parah, pelarian Rohingya ini dikhuatiri mampu membentuk kumpulan jenayah dalam kalangan mereka sendiri.

Perkara itu ditegaskan penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim yang mengakui kebanjiran golongan berkenaan di negara ini akan menyebabkan berlakunya pertembungan budaya selain penyumbang kepada peningkatan kegiatan jenayah.

Ujarnya, pelarian Rohingya tidak seharusnya dibiarkan bebas dalam negara ini kerana golongan ini menyumbang kepada statistik isu sosial dan jenayah di negara ini.

“Lihatlah apabila kumpulan Rohingya ini sudah besar kepala, pihak berkuasa dan undang-undang negara bukan lagi sesuatu yang mampu menggerunkan mereka sekali gus menjadikan penduduk tempatan tidak selesa apabila terpaksa hidup bersama mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini mendedahkan kira-kira 86,155 pelarian Rohingya di negara ini hampir menyamai bilangan penduduk Putrajaya namun hanya 317 yang diberikan penempatan di negara ketiga dalam tempoh enam bulan tahun ini namun hakikatnya Malaysia hanya penempatan sementara.

Punca lambakan pelarian ini berpunca daripada pengeluaran kad UNHCR yang tidak terkawal walhal Malaysia tidak meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967 dan mengiktiraf mereka sebagai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) serta segala bantuan diberikan kerajaan atas dasar pelarian.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis jenayah, Datuk Akhbar Satar berkata, kerajaan diminta lebih tegas dalam menangani isu lambakan pelarian Rohingya kerana ia tidak mustahil akan menjejaskan kedaulatan serta keselamatan Malaysia sendiri.

Katanya, disebabkan layanan Malaysia yang terlalu baik di samping kestabilan politik negara terjamin, pelarian ini mula berani meletakkan pelbagai tuntutan yang jelas mengancam kedaulatan negara.

“Proses penghantaran semula pelarian perlu dipercepatkan kerana semakin lama mereka tinggal di sini, mereka akan berasa makin selesa.

“Pemantauan dan penguatkuasaan perlu dilakukan dengan lebih tegas untuk memastikan pelarian Rohingya tidak menguasai sumber ekonomi lalu merampas peluang ekonomi rakyat tempatan. Jangan sampai mereka pula menjadi tuan rumah di negara ini,” ujarnya.

Leave a Reply