Mesyuarat MN bukti hubungan UMNO, Pas harmoni – Khaled

Sebaran :


KUALA LUMPUR – Rundingan dan perbincangan yang baik antara UMNO dan Pas sepanjang bermesyuarat Jawatankuasa Teknikal Muafakat Nasional (MN) sebelum ini membuktikan hubungan kedua-dua parti Melayu Islam itu masih dalam keadaan harmoni dan utuh.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, meskipun pelbagai masalah timbul dan andaian berlaku sejak mutakhir ini, namun UMNO dan Pas komited terus untuk memperkukuhkan gagasan itu.

“Mesyuarat ini adalah cerminan betapa eratnya hubungan antara UMNO dan Pas, malah sehingga kini kita masih mendokong dan sentiasa berusaha mengukuhkan MN.



“Itu keadaan sebenar walaupun macam-macam diperkatakan di luar sana, tapi sebenarnya hubungan dan pertemuan kami masih ada dan diteruskan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Menara Dato’ Onn, petang ini.

Terdahulu Khaled yang juga pengerusi tetap jawatankuasa itu mempengerusikan mesyuarat minggu MN bersama Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad.

Hadir sama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan.


Pada malam ini, Jawatankuasa Perundingan MN pula dijangka mengadakan mesyuarat, kira-kira jam 8 malam.

Jawatankuasa Perundingan MN pada malam ini akan dipengerusikan oleh kedua-dua Timbalan Presiden UMNO dan Pas, masing-masing Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mesyuarat malam juga akan dihadiri 12 ahli daripada UMNO dan 12 ahli daripada Pas.

Ditanya mengenai keputusan MN Selangor pada Isnin menolak jawatan Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT), beliau bagaimanapun berkata, perkara itu tidak menjejaskan hubungan UMNO dengan Pas.

“Itu tidak, tapi pokoknya memang ada hubungan, memang ada kerjasama dan masing-masing memang menerima serta akan terus memastikan MN itu kuat,” jelasnya.

Khaled juga tidak menafikan keputusan UMNO Perlis mahu meneruskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Dia (Datuk Seri Shahudan Kassim) tak cakap dia tolak Pas, itu soal lain (UMNO Perlis beri kerjasama dengan Bersatu dalam PRU15).

“Soal UMNO dengan Bersatu itu bukan bawah MN. Apa pun hubungan UMNO dan Pas tiada masalah,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad pula menyifatkan mesyuarat pada malam ini sangat penting kepada penyatuan dua parti Melayu Islam itu.

“Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan MN malam ini satu perkara yang sangat penting untuk kita tunjuk kepada masyarakat bahawa kerjasama yang kita lakukan dalam MN itu terus berjalan,” katanya.

Dalam perkembagan sama, Ahmad tidak melihat perkembagan semasa MN di negeri-negeri sejak kebelakangan ini boleh menjejaskan hubungan politik UMNO dan Pas.

“Kita tidak pernah buat apa-apa kenyataan yang sebaliknya, kita memang ingin memperkasakan MN UMNO begitu dan Pas pun begitu,” katanya lagi. MG


Sebaran :

Leave a Reply