Pakej rangsangan kerajaan tak sampai kepada sektor terkesan
PETALING JAYA: Bantuan kewangan berbilion ringgit kerajaan tidak sampai kepada kebanyakan sektor disasarkan kerana syarat ketat dikenakan oleh bank, kata gabungan kumpulan perniagaan.
Menurutnya, antara sektor terjejas adalah pelancongan, peruncitan, pengacaraan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) secara umum.
Menurut laporan ke-42 Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi bagi Kemudahan Bantuan Khas (SRF) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), RM1.26 bilion telah diagihkan kepada 6,731 PKS.
Bagaimanapun, gabungan 262 persatuan perniagaan dan lebih 900,000 perniagaan berkata, jumlah itu sekadar 3.2% daripada keseluruhan PKS di negara ini.
“Ini selepas setahun kerajaan memberikan pakej rangsangan. Bilangannya tidak masuk akal. Bagaimana hanya 3% PKS dibantu sedangkan keadaan ekonomi dan situasi sebenar menceritakan perkara berbeza?” kata Presiden Penaja Business Survival Group Abdul Malik Abdullah dalam sidang media.
Malik mempersoalkan bagaimana boleh wujud pemisah besar antara inisiatif diumumkan kerajaan dengan pelaksanaannya oleh sistem perbankan.
Sementara itu, seorang lagi anggota kumpulan gabungan itu, Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia Emmy Suraya Hussein berkata, banyak hotel yang dalam kesukaran tidak dapat mengakses SRF dan skim pembiayaan pelancongan Penjana.
“Banyak hotel memohon SRF untuk mengelak ditutup, tetapi ditolak oleh bank atas alasan sektor kami terlalu berisiko.
“Bagi skim Penjana, syarat permohonan dan kerja menulisnya terlalu ketat. Saya tahu kerajaan mahu membantu sektor yang terkesan, tetapi proses permohonan perlu dipermudahkan,” katanya.
Katanya, bank tidak patut terlalu ‘ketat’ memandangkan perniagaan kini semakin dibelenggu kesukaran.
Tambahan, kumpulan perniagaan itu menggesa kerajaan menyediakan lebih banyak bantuan bersasar untuk fasa pemulihan pasca pandemik.
“Kami meminta kerajaan membentuk syarikat tujuan khas (SPV) untuk memberikan kelegaan ekonomi selepas pandemik Covid-19,” kata penasihat kumpulan itu, A T Kumarajah.
Kumarajah berkata, SPV itu patut berjalan sebagai usahasama awam-swasta dengan kerajaan untuk menyelaraskan serta mewujudkan polisi.
Selain itu, katanya, SPV patut dilaksanakan bawah satu platform untuk memudahkan proses permohonannya.
“Semua kementerian dan agensi yang berkaitan dengan keusahawanan patut diletakkan bawah platform ini. Apa saja berkaitan dengan perniagaan merangkumi semua industri patut melalui saluran ini,” katanya.
Pakej rangsangan prihatin rakyat tepati sasaran, adil, kata Tok Mat
You must be logged in to post a comment.