Pakej rangsangan prihatin rakyat tepati sasaran, adil, kata Tok Mat · MYKMU.NET

Pakej rangsangan prihatin rakyat tepati sasaran, adil, kata Tok Mat

Share

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat sebanyak RM250 bilion yang diumumkan perdana menteri Muhyiddin Yassin untuk menangani impak Covid-19 sangat menyeluruh, menepati sasaran dan adil.

Mohamad berkata perdana menteri melakukan perkara yang betul dan memberikan kepimpinan yang sangat diperlukan pada waktu ini.

“Pengumuman pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan perdana menteri adalah sangat bertepatan, strategik dan sesuai masa.

“Fokus utama rangsangan ini ialah mengurangi kesempitan hidup rakyat, membantu perniagaan dan melestarikan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat sebanyak RM250 bilion, lebih 10 kali ganda daripada RM20 bilion yang diumumkan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad pada bulan lalu.

Ia terdiri daripada RM128 bilion untuk kebajikan rakyat, RM100 bilion bagi menyokong perniagaan dan RM2 bilion untuk memperkukuhkan ekonomi, selain RM20 bilion dalam pakej terdahulu.
FMT

Leave a Reply