Sukar untuk bersihkan peninggalan Pakatan Harapan-Hadi Awang



Sebaran :

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan sukar untuk membersihkan peninggalan yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) dalam beberapa tahun ini.

Abdul Hadi mendakwa, PH membuat pelbagai kecamuk sewaktu era pemerintahan mereka yang pendek.

“Bak kata orang-orang tua, hendak membaiki itu lebih susah daripada hendak merosakkan,” katanya menerusi tulisan Minda Presiden Pas yang disiarkan di Facebooknya pada Ahad.



Dalam tulisannya juga, Ahli Parlimen Marang itu menyatakan perubahan kerajaan PH kepada Perikatan Nasional (PN) dilakukan secara demokratik dan mengikut proses Perlembagaan Persekutuan.

“Dengan langkah paling tepat tanpa menebuk atap dan masuk dari pintu belakang.

“Ramai pemerhati luar negara sangat kagum dengan pertukaran kerajaan tanpa ada setitik darah pun yang tumpah, tanpa demonstrasi Bersih yang mempunyai niat yang tidak bersih, tanpa berlaku pergaduhan dengan polis dan tentera serta tanpa mengganggu pegawai kerajaan yang sedang bertugas,” katanya.



Abdul Hadi yang merupakan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah berkata, apa yang berlaku adalah perubahan yang bersih.

Beliau pada masa sama menyatakan ketika PH sedang bergaduh siang dan malam, mereka sebaliknya bekerja.

“Kejayaannya berusaha mengambil yang jernih dan menolak yang keruh. Kami menerima rakan yang keluar daripada kolam PH yang dikeruhkan airnya oleh tangan-tangan mereka sendiri yang saling bercakaran,” katanya.



Menurut Abdul Hadi, terdapat juga pihak yang berkata bahawa PH tidak ‘berpolitiking’ kononnya taat setia kepada titah Yang di-Pertuan Agong.

“Tetapi, mereka tetap juga ‘berpolitiking’ mendesak agar diadakan sidang Parlimen ketika tempoh masa darurat kerana Tuanku yang mengisytiharkannya boleh bersidang,” katanya.


Sebaran :


Leave a Reply