Pelajar Carutkan Guru Mohon Maaf

Kota Bharu: Seorang pelajar yang mencarut guru dengan menconteng di belakang baju sekolah sambil menunggang motosikal mengaku bersalah dan memohon maaf atas tindakannya itu.

Pelajar tingkatan lima sebuah sekolah di Kota Bharu itu turut menjelaskan motosikal yang ditunggangnya itu bukan miliknya.

“Saya mengaku salah secara terbuka atas kesalahan saya yang menulis perkataan mencarut guru di belakang baju sekolah.

“Motosikal yang saya tunggang juga bukan motosikal saya, pemilik motosikal adalah kawan kepada abang saya. Pemilik motosikal tidak bersalah, yang bersalah adalah saya.

“Pemilik motosikal juga bekerja di luar Kelantan. Sekali lagi saya memohon maaf dan meminta semua pihak tidak menyebarkan gambar pemilik motosikal kerana dia tidak bersalah,” katanya yang memuat naik status di Facebook.

Sementara itu, pemilik motosikal yang mahu dikenali sebagai Muhammad Afiq, 22, berkata motosikal berkenaan ditinggalkan di kampung untuk kemudahan adik-adiknya sementara dia bekerja di luar Kelantan.

Katanya, dia hanya mengetahui motosikal miliknya tular sejak kelmarin dan pelajar yang menunggang motosikal itu adalah kawan kepada adiknya.

“Saya sudah berusia 22 tahun dan sudah lima tahun meninggalkan alam persekolahan. Ramai yang keliru mengatakan saya yang menunggang motosikal berkenaan sehingga gambar saya turut tular di Facebook.

“Saya dimaklumkan oleh adik, kawannya mahu meminjam motosikal untuk ke sekolah kerana motosikalnya rosak. Jadi atas belas kasihan, adik saya beri motosikal berkenaan.

“Cuma agak terkejut apabila tular dengan tulisan menghina guru di baju sekolahnya. Apapun saya mohon supaya orang ramai memadam gambar saya,” katanya yang turut membuat laporan polis.

Sebelum ini, tular di media sosial menyaksikan tiga individu yang menunggang membabitkan dua motosikal.

Dua daripada pelajar berkenaan memakai baju sekolah dengan tulisan menghina guru. Seorang daripadanya tidak memakai topi keledar.

Terdahulu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengambil tindakan terhadap pemilik kenderaan yang tular menyaksikan seorang pelajar membonceng motosikal tanpa memakai topi keledar sambil mencarut guru.

Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf berkata, pihaknya mengeluarkan notis temu siasat mengikut seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kepada pemilik kenderaan itu.

Katanya, menunggang dan membonceng motosikal tanpa memakai topi keledar adalah satu kesalahan yang boleh di dakwa di bawah kaedah 4 Kaedah-Kaedah Motosikal (Topi Keledar) 1973.

[VIDEO] Cubaan “WHEELIE” Dari Budak Tunggang Motosikal Kapcai..Kaki Pun Tak Sampai Dik…

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker