BN Gesa Muhyiddin Hormati titah Agong, Mahu Parlimen Bersidang Semula



Sebaran :

BN merayu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar menitahkan sidang parlimen diadakan segera, kata pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid berkata Seri Paduka boleh menggunakan kuasa wewenang baginda di bawah Seksyen 14 (1) (b) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, yang dibaca bersama Perkara 40 (2) perlembagaan persekutuan.

“BN (juga) mengesyorkan ahli-ahli Dewan Rakyat menyeru perdana menteri serta jemaah menteri untuk menghormati titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya sidang parlimen diadakan dalam kadar segera, apatah lagi setelah pelaksanaan perintah kawalan pergerakan dilonggarkan.



“Prinsip keluhuran perlembagaan perlu ditegakkan bagi membolehkan parlimen memainkan peranan yang wajar dalam memastikan semak dan imbang,” tegasnya dalam satu kenyataan malam ini

Antara lain kata Zahid, sidang parlimen itu akan dapat membentangkan bahawa pengisytiharan darurat serta Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu 2021) dibuat bagi memastikan prinsip hak asasi manusia, kebebasan masyarakat madani, ketelusan dan kedaulatan undang-undang.

Selain itu katanya, parlimen juga dapat membincangkan keberkesanan langkah-langkah membendung penularan wabak Covid-19 dan keberkesanan pelaksaaan Belanjawan 2021 demi memastikan kelangsungan hidup rakyat, terutamanya golongan B40.



Sehubungan itu Zahid berkata sekiranya diperkenankan, dia sedia menghadap Seri Paduka bagi menyampaikan pandangan bagi pertumbuhan sosioekonomi negara, terutama rakyat miskin.

Takiyuddin cabar titah Agong

Katanya lagi, BN menganggap kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (parlimen dan undang-undang), Takiyuddin Hassan bahawa jemaah menteri menasihatkan Agong supaya menidakkan sidang parlimen semasa tempoh darurat seolah mencabar titah baginda.



“Dalam perkara ini BN memohon ampun kepada Seri paduka baginda Yang di-Pertuan Agong sekiranya kenyataan menteri tersebut menyinggung hati duli tuanku,” jelasnya.

Kelmarin Takiyuddin dilaporkan berkata jemaah menteri bersetuju agar sidang Parlimen ditangguhkan hingga 1 Ogos depan bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha melawan Covid-19.

Takiyuddin berkata keputusan penangguhan itu dibuat berdasarkan alasan perundangan serta analisis data dan sains mengenai kekhuatiran penularan wabak di dalam bangunan parlimen.



Selain itu menteri itu memaklumkan sebahagian ahli parlimen adalah warga emas berusia 61 tahun ke atas yang berisiko dijangkiti wabak berkenaan.

Beberapa pihak berkata kenyataan Takiyuddin itu bercanggah dengan kenyataan dikeluarkan Istana Negara pada 12 Jan menyatakan Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat.

Perkara itu termaktub dalam subperenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat perdana menteri.



 

Berikut adalah kenyataan penuh Pengerusi Barisan Nasional

KENYATAAN MEDIA

1. Barisan Nasional menjunjung kasih titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 24 Februari 2021 di mana Yang di-Pertuan Agong telah menzahirkan pandangan bahawa Dewan Rakyat boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Duli Tuanku atas nasihat YAB Perdana Menteri.

2. Barisan Nasional menyambut baik titah Duli Tuanku yang bertujuan menegakkan amalan sistem demokrasi yang berteraskan prinsip Keluhuran Perlembagaan.

3. Barisan Nasional sentiasa berpegang bahawa, nasihat YAB Perdana Menteri kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi membendung gejala wabak COVID-19 melalui Pengisytiharan Darurat serta Pemasyuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa PerlU) 2021 perlu memastikan hak suara rakyat di Parlimen tidak diabaikan.

3. Barisan Nasional menanggapi kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) semalam bahawa Jemaah Menteri menasihatkan KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku Agong supaya menidakkan Sidang Parlimen semasa tempoh Darurat berkuatkuasa, adalah seolah mencabar pandangan dan titah Duli Tuanku dan menghina institusi Raja Berpelembagaan.

4. Bersesuaian dengan sumpah menjunjung Perlembagaan yang telah dilafazkan, Barisan Nasional berpegang teguh Ahli Dewan Rakyatnya melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan penuh kesetiaan di samping memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan. Dalam perkara ini, Barisan Nasional memohon ampun kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sekiranya kenyataan Menteri tersebut menyinggung hati Duli Tuanku.

5. Barisan Nasional mengsyorkan Ahli-ahli Dewan Rakyatnya menyeru YAB Perdana Menteri serta Jemaah Menteri untuk menghormati titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya Sidang Parlimen diadakan dalam kadar segera, apatah lagi setelah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dilonggarkan. Prinsip Keluhuran Perlembagaan perlu ditegakkan bagi membolehkan Parlimen memainkan peranan yang wajar dalam memastikan semak dan imbang.

6. Meskipun begitu, Barisan Nasional dengan rendah diri merayu kepada KDYMM Seri Padaka Baginda Tuanku Agong, sekiranya diperkenankan, Untuk menitahkan Sidang Parlimen diadakan dengan kadar segera dengan menggunakan kuasa wewenang Duli Tuanku di bawah Seksyen 14 (I)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa PerlU) 2021 dibaca bersama Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan. Dimana, Sidang Parlimen dapat membentangkan perkara-perkara berikut:

(a) Pengisytiharan Darurat serta Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa PerlU) 2021 bagi memastikan prinsip hak asasi manusia, kebebasan masyarakat madani, ketulusan dan kedaulatan undang-undang dapat dipelihara;

(b) Keberkesanan langkah-langkah untuk membendung penularan wabak COVlD-19 demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat;

(c) Keberkesanan pelaksanaan Belanjawan 2021 demi memastikan kelangsungan hidup rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40 dan M40);

(d) Keberkesanan ikhtiar pemulihan ekonomi negara semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP);

(e) Keperluan kestabilan politik demi pemulihan dan pemacuan ekonomi melalui farikan pelaburan dalam dan luar negara;

(f) Keperluan perpaduan di antara bangsa Melayu dan umat Islam bersama-sama pelbagai keturunan dalam mengemudi bahtera negara agar kembali stabil.

8. Sehubungan ini, sekiranya diperkenankan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, saya sedia menjunjung titah DuIi Tuanku untuk mengadap Duli Tuanku bagi menyampaikan pandangan bagi pertumbuhan sosioekonomi negara, terutamanya rakyat miskin.

9. Sementalahan saya juga turut menzahirkan penghargaan kepada pihak kerajaan dalam merealisasikan Program lmunisasi COVID-19 Kebangsaan dan kepada para wira-wirawati petugas barisan hadapan dalam pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira masa dan penat dalam memerangi wabak COVID-19.

AHMAD ZAHID HAMIDI
4 Mac 2021

Kenyataan Media 4 Mac 2021


Sebaran :


Leave a Reply