Penagih rela mati, diajar kalimah syahadah elak ditahan AADK



Sebaran :

BACHOK – Seorang penagih dadah menyatakan hasrat bahawa dia rela mati daripada ditangkap sewaktu anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Bachok menyerbu rumahnya di Tawang di sini semalam.

Pegawai AADK Bachok, Zulkapli @ Zulkifli Muhammad berkata, suspek yang berusia 45 tahun dipercayai berada dalam keadaan gian dan hanya mampu terbaring di ruang tamu rumahnya selepas tidak mendapat bekalan dadah.

Katanya, selain itu, anggota AADK juga terpaksa mengajar lelaki itu kalimah syahadah selepas menjerit-jerit kononnya dia mahu mati di dalam rumah itu.



“Lelaki itu memaklumkan bahawa dia rela menunggu malaikat maut datang mencabut nyawanya daripada ditangkap.

“Bagaimanapun, anggota AADK berjaya memujuk lelaki itu selepas memaklumkan bahawa dia ditangkap hanya untuk tujuan pemulihan ketagihan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Zulkifli, lelaki itu merupakan salah seorang daripada enam lelaki yang ditahan dalam Ops Cegah yang dijalankan oleh AADK Bachok di Kampung Tawang, Kampung Perupok dan Melawi di sini semalam.



Katanya, semua suspek berusia 25 hingga 50 tahun itu dicekup di rumah masing-masing hasil risikan AADK sebelum menjalankan serbuan.

“Sembilan orang suspek telah diperiksa dan hanya enam daripada mereka ditahan selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine dan morfin.

“Salah seorang suspek berusia 28 tahun didapati memiliki 199 biji pil dipercayai pil kuda dan Erimin 5,” katanya.



Menurut Zulkifli, lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambahnya, lapan lagi suspek ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983. – K! ONLINE


Sebaran :


Leave a Reply