‘Beli’ wakil rakyat kerana tidak yakin sidang Parlimen – Anwar

 

PETALING JAYA: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih belum yakin untuk mengadakan sidang Parlimen sehingga terpaksa ‘membeli’ dua ahli Parlimen untuk mengukuhkan sokongan majoriti terhadap kerajaan.

Beliau berpendapat, Muhyiddin sepatutnya mengumumkan sidang Parlimen dengan segera sebaik sahaja Yang di-Pertuan Agong menitahkan bahawa Parlimen boleh bersidang dalam tempoh darurat.

“Mengapa Perdana Menteri masih membisu? Mengapa tidak ada kenyataan untuk hormat titah tuanku Agong? Ternyata kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai keyakinan untuk mereka adakan sidang Parlimen sehingga ‘membeli’ beberapa orang wakil rakyat,” katanya dalam satu rakaman video terbaru di akaun Facebook miliknya.

Justeru, Anwar berpandangan bahawa Muhyiddin sudah pun kehilangan sokongan majoriti di Parlimen.

“Saya meminta Muhyiddin dan kerajaan PN berundur kerana mereka sudah hilang majoriti, sebab itu mereka bergelut untuk membeli, beri upah, mengugut sedaya upaya untuk mendapat dukungan sebelum Parlimen bersidang

“Walaupun guna darurat untuk gantung Parlimen, mereka tetap cuba memujuk, mengugut dan menekan supaya wakil rakyat lompat,” katanya.

Namun, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menganggap perubahan hanya boleh dilakukan sekiranya ahli Parlimen mengutamakan kebajikan rakyat.

“Sekiranya sejumlah besar ahli Parlimen masih setia mahukan perubahan, mahu bela nasib rakyat, menjaga pembangunan rakyat, selesaikan masalah ekonomi dan jaga perpaduan rakyat, kita boleh bawa perubahan sebaiknya,” katanya.

Kenyataan itu dibuat selepas Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong membuat keputusan untuk keluar dari PKR dan memberi sokongan penuh kepada Muhyiddin dan kerajaan PN.

Tindakan itu menyebabkan PKR kini mempunyai 36 sokongan ahli Parlimen dengan 89 sokongan ahli Parlimen terhadap Pakatan Harapan (PH).

Related Articles

One Comment

  1. dengan Puad Zarkashi terus dia saman bila orang tu setakat kritik & sindir dia je tapi anwar tuduh tanpa bukti kata dia beli ahli parlimen pkr untuk lompat masuk pn supaya dia dapat terus kekal jadi pm, takde pulak muhyiddin berani nak saman

    kalau nak buli orang jangan setakat buli UMNO je, kenalah adil buli orang lain juga…nampak sangat ppbm memang kaki buli UMNO je

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker